BETAPA tinggi nilai sejarah di Kota Tinggi, samalah tingginya dengan nama daerah ini. Bukan ketinggian fizikal yang menjadi ukuran tetapi ketinggian akal budi dan leluhur bangsanya. Di sinilah bermulanya sejarah Kesultanan Melayu Johor setelah kejatuhan kerajaan Melaka.
Daerah ini dibuka pada tahun 1528. Keluasan Kota Tinggi mencakupi 3488.7 kilometer persegi. Jaraknya sekadar 42 km dari bandar raya Johor Bahru. Kota Tinggi terletak di laluan Sungai Johor yang menjadi tumpuan pemerintahan Kesultanan Johor Lama. Johor Lama merupakan nama asal bagi daerah Kota Tinggi yang dibuka oleh Sultan Alaudin Riayat Syah II.
Hanya semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah II, nama Johor Lama ditukar kepada nama Kota Tinggi bersempena dengan lapan buah kota pertahanan dan pemerintahan Johor ketika itu yang dibina di tempat-tempat yang tinggi (berbukit) di sepanjang Sungai Johor.
Kota pertahanan tersebut ialah Kota Kara (1529), Kota Sayong (1536), Kota Batu (1540), Kota Seluyut (1564), Kota Batu Sawar (1587), Kota Touhid (1623), Kota Tinggi (1685) dan Kota Panchor (1716). Sultan Mahmud Syah yang melarikan diri daripada serangan Portugis di Melaka (1511) telah menuju ke Pahang dan kemudian berpindah ke Bentan.
![Pusat pentadbiran Johor Lama. - Foto: Azura Halid](https://img.astroawani.com/2025-02/61738659182_freesize.jpg)
Keunikan Makam Nisan Aceh
Batu nisan Aceh bukan sekadar tanda kematian tetapi juga sebagai artifak negara yang terpelihara dan bukti sejarah ketamadunan Islam. Batu nisan Aceh ini berasal dari Aceh, Sumatra Utara. Inilah bukti hubungan baik Johor dan Aceh dari sudut diplomatik dan sosiobudaya pada abad ke-15 hingga 19 Masihi. Makam nisan Aceh ini merupakan milik raja-raja, pembesar istana dan golongan bangsawan.
Hubungan kerajaan Johor dengan Aceh telah termaktub dalam kitab-kitab sejarah mahu pun naskhah hikayat. Aceh memberi pelindungan kepada kerajaan Johor bukan sahaja dari segi peralatan peperangan bahkan juga armada angkatan perangnya asal sahaja Johor sanggup bersama-sama Aceh mempertahankan syiar Islam.
Aceh pada ketika itu merupakan sebuah kerajaan Islam yang terkenal dengan jolokan Aceh Darussalam. Aceh menerima saudagar dari Arab untuk berdagang di Aceh sehingga Aceh menjadi pelabuhan terpenting selepas kejatuhan Melaka. Hubungan diplomatik Aceh dan Johor agak terganggu dengan kehadiran Belanda yang mula menjalinkan kerjasama dengan Johor.
Setiap makam yang bersemadinya jasad sultan, pembesar istana dan kerabat diraja, telah ditandai dengan batu nisan Aceh. Kesenian nisan Aceh ini menjadi lambang keagungan kerajaan Aceh dalam pelbagai aspek termasuklah teknologi pembinaan, seni ukiran dan hubungan dengan negara jirannya.
Kepelbagaian bentuk dan keunikan batu nisan Aceh ini sangat menarik perhatian. Nisan Aceh mempunyai pelbagai bentuk dan setiap satunya mempunyai keunikan yang tersendiri.
Nisan Aceh yang bermotifkan bunga teratai dan berbentuk seperti anting-anting di bahagian kepala (atas) dipercayai makam tersebut milik jasad seorang perempuan. Reka bentuk, seni ukir dan hiasan pada batu nisan Aceh ini merupakan gabungan kesenian yang wujud di rantau Nusantara pada zaman tersebut.
Tipologi batu nisan Aceh yang sempat diteliti penulis kebanyakannya berbentuk bulat, pipih dan blok. Setiap batu nisan Aceh dibahagikan pada enam bahagian, iaitu bahagian dasar, bawah, atas, bahu, kepala dan puncak (Othman Mohd. Yatim, 1985).
Terdapat juga batu nisan Aceh yang berukiran ayat-ayat al-Quran dan ditandai dengan tahun kemangkatan si mati. Nisan Aceh paling tinggi dijumpai di makam Sultan Abdul Jalil Syah di Kampung Panchor.
Makam di Kampung Makam
Di Kampung Makam inilah bersemadinya Sultan Mahmud Syah II yang dikaitkan dengan pertelingkahannya dengan Megat Seri Rama sehingga keturunan Laksamana Bentan itu diharamkan menjejakkan kaki ke tanah Kota Tinggi. Bersebelahan dengan makam baginda sultan, terletaknya makam Kucing Bertanduk.
Menurut sejarah (lisan), kucing tersebut merupakan kucing kesayangan Sultan Mahmud Syah II dan makanan hariannya ialah sayur-sayuran. Kucing peliharaan sultan itu dikatakan tidak pernah menjejakkan kakinya ke tanah kerana sering berada di bumbung istana atau di bumbung-bumbung rumah untuk mengesan kehadiran musuh yang menyerang kubu pemerintahan Kota Tinggi.
Kucing bertanduk akan mengiau-ngiau tanpa henti apabila mendapat alamat yang tidak baik. Kucing bertanduk mempunyai benjolan di kepalanya dan disebabkan itulah ia digelar sebagai kucing bertanduk. Kucing kesayangan sultan itu mati seminggu sebelum kemangkatan sultan dan dititahkan supaya kuburnya ditandai dengan batu bulat. Walau bagaimanapun kisah tersebut bersifat mitos semata-mata.
Di sini juga terletaknya makam Bendahara Tun Habab. Nama sebenar Tun Habab ialah Tun Abdul Majid Tun Habab atau dikenali juga sebagai Habib Padang Saujana. Tun Habab berperanan sebagai Bendahara semasa pemerintahan Sultan Ibrahim Shah I (1677-1685) dan Sultan Mahmud Syah II (1685-1699).
![Pengisahan dan riwayat Bendahara Tun Habab. - Foto: Azura Halid](https://img.astroawani.com/2025-02/51738659413_freesize.jpg)
Sultan Mahmud Syah II mangkat tanpa meninggalkan waris, maka Tun Habab telah ditabalkan menjadi Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV. Pada tahun 1700 baginda telah memindahkan pusat pentadbiran Johor dari Kota Makam Touhid ke Kota Panchor.
Puterinya Tengku Tengah telah berkahwin dengan Daeng Perani, iaitu salah seorang anak raja Bugis lima bersaudara yang masyhur. Yang berlaku di sebalik pelantikan keturunan Bendahara sebagai pengganti sultan masih juga boleh dipertikaikan.
Putera Tun Habab yang bernama Tun Zainal Abidin telah menjadi Sultan Terengganu yang pertama dan keturunan itulah yang menjadi pewaris sultan Terengganu sehingga hari ini. Manakala puteranya yang bernama Tun Abas telah diangkat menjadi Bendahara Seri Maharaja Pahang dan daripadanya maka bersusur galurlah keturunan sultan Pahang sehingga ke hari ini.
Yang demikian boleh dikatakan keturunan pemerintah Johor, Terengganu dan Pahang kesemuanya berasal daripada susur galur Tun Habab. Makam tersebut juga ditandai dengan batu nisan Aceh yang diukir dengan ukiran seni khat jawi lama dan lenggok awan larat pada batunya.
Makam di Kampung Kelantan
Makam Laksamana Bentan atau Megat Seri Rama dan isterinya Dang Anum terletak di Kampung Kelantan. Makam suami isteri itu bersemadi berhampiran dengan tebing Sungai Johor. Megat Seri Rama ialah pahlawan Melayu terbilang yang berasal dari Pulau Bentan, Sumatera. Megat Seri Rama dilantik sebagai panglima angkatan laut semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah II (1685-1699).
Megat Seri Rama telah menikam Sultan Mahmud sewaktu baginda dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Perbuatan Megat Seri Rama itu kononnya kerana mahu membalas dendam atas kematian isterinya yang dipercayai dibunuh oleh sultan kerana mengidam nangka raja. Sejauh mana kesahihan kisah ini masih boleh dikaji dan didebatkan.
Diceriterakan orang bahawa pertelingkahan dan kejadian pembunuhan antara pihak istana dengan golongan rakyat telah berlaku. Namun kesahihan tentang Dang Anum dibunuh dengan kejam dan sultan dianggap zalim, tidak dapat disahkan apatah lagi ketika kejadian tersebut sultan sedang ditandu di atas julang untuk mengerjakan solat Jumaat di masjid.
Siapa sebenarnya yang bersalah dalam pertelingkahan ini, sehingga kini belum dapat dinyatakan kebenarannya. Atau adakah kedua-dua belah pihak disabotaj? Adakah Laksamana Bentan dihasut kerana mendengar fitnah?
![Makam Dang Anum dan pengisahan Laksamana Bentan (Megat Seri Rama). - Foto: Azura Halid](https://img.astroawani.com/2025-02/71738660301_freesize.jpg)
Makam di Kota Seluyut
Sultan Muzafar Syah yang merupakan sultan Johor yang ke-3 telah memerintah Johor pada tahun 1564-1570 setelah kerajaan terdahulu di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah II tewas di tangan kerajaan Aceh. Sebuah kota pertahanan telah dibina di atas Bukit Seluyut yang tingginya 240 kaki.
Kedudukan dan ketinggian Bukit Seluyut telah memudahkan pengawasan dan pergerakan kapal di Sungai Johor. Di Kota Seluyut inilah lahirnya Bendahara Paduka Raja Tun Seri Lanang atau nama sebenarnya Tun Muhamad pada tahun 1565 dengan naskhahnya yang tersohor seantero dunia, iaitu Sulalatus Salatin atau The Malay Annals.
Di Kota Seluyut inilah terletaknya Makam Tiga Beranak. Makam ini merupakan makam diraja kerabat Kesultanan Johor Lama, iaitu Sultan Muzafar Syah, Sultan Abdul Jalil Syah I dan Raja Fatimah, iaitu bonda kepada Sultan Abdul Jalil Syah I. Selain Makam Tiga Beranak, terdapat juga makam Bendahara Seri Maharaja Tun Isap Misai.
![Makam Tiga Beranak - Foto: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kota Tinggi](https://img.astroawani.com/2025-02/51738659590_freesize.jpg)
Beliau merupakan Bendahara Johor semasa pemerintahan Sultan Muzafar Syah dan meninggal dunia semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II. Tun Seri Lanang yang merupakan cucu Bendahara Seri Maharaja Tun Isap Misai telah dilantik oleh Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II sebagai bendahara. Makam-makam yang terdapat di sini telah ditandai dengan batu nisan Aceh yang dipercayai mempunyai perkaitan darah berketurunan bangsawan.
Kota Tinggi sangat wajar diangkat sebagai tapak warisan dunia oleh pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Kajian pembinaan dan penggalakan penyelidikan dan penerbitan hasil sejarah kesultanan Melayu Johor, tamadun dan peradaban Melayu dan Islam senusantara perlu diteruskan agar warisan sejarah ini tidak lapuk dan dilupai oleh generasi akan datang.
Makam-makam nisan Aceh ditadbir dan dijaga oleh pelbagai pihak mengikut autoriti masing-masing. Terdapat juga makam yang berada di tanah milik persendirian seperti makam Cik Siti Aminah Tanah Masyhur yang dipercayai berkahwin dengan 100 orang lelaki.
Makamnya di Kampung Tembioh, Kota Tinggi terletak di tanah persendirian yang tidak boleh ditadbir oleh mana-mana pentadbiran kerajaan. Urus tadbir makam yang tidak berpusat ini menyukarkan para pengkaji untuk melaksanakan tinjauan lapangan dan kajian tempatan.
Tapak sejarah yang ditinggalkan oleh pemerintah terdahulu di Kota Tinggi, bukanlah tapak warisan monumen usang dan klasikal seperti mana Portugis meninggalkan kubu A Famosa di Melaka. Tetapi yang ditinggalkan di Kota Tinggi ialah makam yang menjadi peringatan kepada manusia hidup bahawa kematian itu satu peringatan Tuhan terhadap hamba-Nya.

* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)