Setiap kata aku menghayatinya
Dengan rasa cinta di hati
Bila engkau baca puisi.
Siapa engkau yang bersuara emas?
Bolehkah aku merayu kepadamu?
Biar hanya sekejap waktu
Agar tercurah perasaanku.
Hanya di radio
Ku merasa perhubungan cinta
Begitu ramah dan mesranya
Walau tiada paras dan rupa.
Inilah antara bait-bait lirik lagu “Hanya di Radio” yang pernah popularkan oleh kumpulan Headwind pada sekitar tahun 80-an. Tidak banyak lagu yang mengangkat tema kerjaya penyampai radio atau juruhebah radio sehingga menjadi siulan ramai. Penyampai radio dianggap bersuara emas kerana kerjaya sebagai penyampai radio tidak mampu digalas oleh semua orang.
Intonasi suaranyanya berbeza dengan pembaca berita, pengacara majlis hiburan, korporat dan perkahwinan. Suara juruhebah radio pada era 70-an dan 80-an didengar lebih padu, mantap, bertenaga dan lebih sopan. Kerjaya juruhebah dipilih dalam kalangan individu yang mempunyai bakat berkomunikasi yang lancar dan latar akademik dalam bidang komunikasi massa terutamanya dalam major penyiaran.
Namun begitu peredaran zaman menyaksikan kebanyakan juruhebah radio pada hari ini terutamanya di radio-radio pemilikan swasta memilih individu popular dan terkenal sebagai juruhebah radio. Mereka tidak lagi dipilih dalam kalangan individu yang benar-benar berketerampilan sebagai juruhebah radio.
Hal ini berkemungkinan untuk meningkatkan rating pendengar memandangkan terlalu banyak pilihan rangkaian radio yang boleh diputarkan oleh pendengar. Radio swasta lebih cenderung memilih suara-suara selebriti, pelawak dan ahli politik menjadi penyampai radio. Pendengar pula boleh memilih untuk mendengar mana-mana rangkaian radio mengikut cita rasa masing-masing.
Lagu “Hanya di Radio” yang dicipta oleh S. Amin Sahab dan Mohamad Othman meletakkan senario sebenar pada era 80-an bahawa juruhebah radio yang bersuara emas mampu memukaukan pendengar sehingga pendengar jatuh hati dengan suaranya. Sesuai dengan dekad itu bahawa suara juruhebah radio bukan sekadar penyampai maklumat tetapi juga mampu mempengaruhi jiwa pendengar dengan celoteh dan bicara santai yang santun.
UNESCO telah menetapkan 13 Februari pada setiap tahun sebagai Hari Radio Sedunia bermula pada tahun 2011. Selain memberi penghargaan kepada dunia radio, Hari Radio Sedunia juga menjadi propaganda hak kebebasan bersuara di radio. Walau bagaimanapun hal tersebut tidak disepakati oleh kebanyakan negara yang mementingkan keharmonian rakyat terutamannya bagi negara berbilang bangsa, etnik dan budaya.
Sejarah awal radio di Malaysia bermula pada tahun 1921 apabila radio diperkenalkan oleh British di Singapura. A.L. Birch pula telah membawa set radio dari England ke Malaya.
Hari ini, suara emas yang sepatutnya menguasai rangkaian radio dilihat sudah semakin pudar warnanya. Sudah hilang aura suara emas juruhebah seperti yang didengari pada era terdahulu.
Kebanyakan juruhebah radio tidak lagi mampu mengawal intonasi suara dengan baik, terlalu santai berbual sesama sendiri seperti borak kosong di warung tepi jalan, membuat lawak yang tidak bijak, penyampaian maklumat yang tidak berkesan, merancu bahasa kebangsaan dengan bahasa asing dan yang lebih menyedihkan mereka menjadikan radio seperti pusat karaoke dengan menerima dan meminta pemanggil untuk menyanyi di radio. Sedangkan radio sendiri boleh sahaja memutarkan lagu-lagu yang berkualiti daripada penyanyi sebenar.
Walaupun sekadar suka-suka dan hiburan santai namun hal yang tersebut tidak mencerminkan radio sebagai medium penyebaran maklumat dan hiburan yang berfaedah kepada masyarakat pendengar.
Begitulah kesannya apabila juruhebah radio tidak lagi dipilih dalam kalangan individu yang berilmu pengetahuan, bakat celoteh yang bijak dan mutu kawalan suara yang terbaik. Kepopularan seseorang individu tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk mereka dilantik sebagai penyampai radio.
Penyampai radio harus bijak mengawal tutur bicara daripada merancu dan merepek. Pengisian yang bermoral dan berilmu perlu dikekalkan selain pengendalian berbahasa yang menepati kesempurnaan penyampaiannya.
Tidak dinafikan bahawa pendengar yang mendengar radio ada masanya tidak mahu mendengar isu yang memberatkan fikiran. Sembilan puluh peratus pendengar radio mendengar radio semasa memandu bagi memenuhi ruang perjalanan mereka.
Disebabkan radio kini boleh didengari pada bila-bila masa dan dalam apa jua situasi dengan memuat turun aplikasi tertentu maka purata harian rakyat Malaysia mendengar radio ialah selama 55 minit sehari dengan 97% pendengarnya dalam kalangan masyarakat di Semenanjung Malaysia (Laporan Prestasi Industri, 2019).
* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
