KEKREATIFAN dan kebitaraan orang Melayu memang tiada tolok-bandingnya.
Segala benda yang berkaitan dengan bangsa yang tinggi akal budi ini pasti berseni apatah lagi sajian air tangan tradisi.
Keunikan nama dan menu juadah tradisional Melayu memang luar biasa tersohor terutama air tangan rekaan masyarakat Pantai Timur yang sangat memartabatkan resam leluhur.
Sesungguhnya resipi makanan orang-orang Melayu amatlah seimbang gizi jasmani dan rohani bahkan tepu zat maknawi.
Setiap ramuan bukan sahaja enak dan berkhasiat bahkan sarat citra keunggulan akal budi bangsa yang secara jelas tiada tolok banding aras apabila nenek moyang kita ini bijak bertindak untuk mentarbiyah dan berdakwah melalui makanan sebagai pengalas.
Generasi kontemporari menerima tunjuk ajar secara ringkas tapi berbekas.
Memahami kalam Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 7, bermaksud, "jika kamu berbuat baik, bererti kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri. Dan jika kamu berbuat buruk, maka keburukan itu bagi dirimu sendiri," mereka pun mencipta makanan yang bukan sahaja sedap dan lazat bahkan penuh maksud dan falsafah tersirat melalui satu resepi yang sukar untuk dilabelkan sebagai kuih ataupun lauk kerana ia adalah kombinasi kedua-duanya.
Inilah dia Ketupat Sotong ataupun Sotong Sumbat yang menyimpan falsafah nan sarat perihal sifat saling tolong-menolong yang amat bermanfaat diamalkan sepanjang hayat demi keuntungan di dunia dan akhirat.
Barangkali ada segelintir yang tidak menggemari makanan ini kerana ia kelihatan janggal dan tak masuk akal.
Masakan tidak, makanan laut yakni 10 ekor sotong yang lazimnya menjadi lauk diserasikan dengan makanan darat berupa setengah cupak beras pulut, dua kilogram santan pekat, tiga keping manisan (nisse kerek), empat helai daun pandan dan secubit garam berkolaborasi menjadi resepi luar duga yang sangat umph! Nah, inilah hakikat kemanisan bertolong-menolong yang saling memberi untung.
Resipi yang limpah falsafah bermula dengan pemilihan sotong yang bersaiz sederhana besar dan segar yang dileraikan kepala dengan badan dan dibasuh bersih dan ditoskan ini melambangkan ketawadukan dan kesederhanaan adalah niat awal ketika mahu membantu amat digarisbawahkan kerana jika diambil sambil lewa sahaja aktiviti bertolong-menolong tidak menjadi tulus ikhlas seperti saranan Ilahi.
Samalah jika diambil yang kecil apabila dimasak sotong itu akan mengecut dan jika tidak segar badannya akan pecah akibat pengembangan pulut. Begitulah wasatiah yang dituntut.
Falsafah sederhana ini pula memberi tauladan tentang bagaimana kuat dan indahnya kebersamaan dalam hidup. Seperti sotong yang mahal harganya nak dimakan sikit, tak kenyang jika mahu diratah begitu sahaja, sayang.
Molek jika beras pulut yang sedikit murah disumbat ke dalam perut sotong, apabila makan Insyha-Allah kenyang.
Sotong yang asalnya lauk sudah bertukar menjadi kuih bila diaduk dengan beras pulut. Itulah nikmat yang tak terperi apabila hidup saling melengkapi.
Bagi memperincikan lagi maksud terpendam, perlambangan ketulusan hati budi dipencarkan melalui ikon warna putih beras pulut yang dibasuh bersih dan direndam seketika di dalam santan cair dan secubit garam (bagi menambahkan kelemakan rasa ketupat) serta ditoskan.
Kemudian masukkan ke dalam perut sotong itu sebanyak 3/4 daripada isi padu badannya sahaja agar ketupat yang terhasil lembut dan serata masak. Tidak perlu penuh bagi mengelak pulut membuak. Itulah ibrah keikhlasan bergotong-royong tanpa riak.
Tidak perlu dipotong leraian kepala sotong berjanggut panjang tetapi giginya berbentuk bulat di tengah-tengah di dalam sesungut perlu dibuang.
Bagi mengemaskan rupa bentuk Ketupat Sotong ini, sesungut yang panjang terlebih dahulu dimasukkan ke dalam perut berinti tiga per empat beras pulut, kemudian masukkan belakang kepalanya sehingga tidak nampak matanya dan seterusnya cucukkan dengan lidi pencungkil gigi di pangkal sesungut tersebut dan pastikan kepala sotong itu kemas dicucuk.
Sila berhati-hati ketika mencucuk lidi supaya tidak terkena pada mata sotong itu atau ia kelihatan hodoh kehitaman ataupun berserabut akibat kepala dan janggut sotong tercabut.
Demikian, perumpamaan adab semasa bermuafakat mestilah dihindari sifat bongkak yang membawa kepada berubah niat menolong kerana Allah kepada tujuan bermegah-megah sekali gus melukai hati orang yang ditolong dengan tusukan sifat ‘agah’ (takabbur).
Di dalam periuk, lapik bahagian dasarnya dengan daun pandan sehingga melitupi kesemuanya, susun sotong padat berinti beras pulut, kepala serta janggut memenuhi ruang dasar dan tindan perlahan di atasnya dengan cermat.
Masukkan santan pekat tadi bersama sedikit garam dan manisan. Hidupkan api yang paling kecil, tutupkan periuk dan masak selama 30 - 45minit sehingga pulut di dalam sotong masak dan santan akan pecah minyak.
Kreativiti nenek moyang Melayu kita nan bijaksana amatlah luas skopnya. Kekal berpegang teguh kepada prinsip setiap kebaikan yang dilakukan pastilah kebaikan itu akan kembali kepada semula.
Jika seseorang suka menolong pasti akan ditolong, jika seseorang suka memaafkan pasti akan dimaafkan. Jika seseorang suka memudahkan urusan orang lain maka pada suatu waktu dia mendapat kesulitan pasti akan ada saja yang menolongnya, insya Allah.
Begitulah sunatullah sebagaimana Allah berfirman dalam surah ar-Rahman ayat 60: bermaksud, "tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan".
Dari situ, mereka meraikan selera anak cucu yang kurang menggemari rasa manis sebaliknya menyukai rasa lemak berkrim.
Justeru resipi di atas diubah suai dengan tambahan sejemput halba, setengah inci halia dan 3 ulas bawang merah. Kedua-duanya perlu dimayang. Secukup rasa gula dan garam. Resipi sebegini lebih popular di negeri jiran, Terengganu Darul Iman.
Berbeza sedikit cara penyediaan ketupatnya apabila beras pulut yang telah direndam bersama santan hendaklah terlebih dahulu ditanak sehingga masak dan biarkan sejuk. Kemudian baharulah disumbatkan ke dalam perut sotong tersebut dan dimasak hingga santan pecah minyak.
Toleransi tetap dititikberatkan ketika menghulurkan bantuan yakni berdasarkan kemampuan dan cita rasa tersendiri.
Begitu jugalah kaedah penyediaan juadah ini adalah tipikal dan sukatan bahan-bahannya adalah mengikut selera masing-masing, jika mahu lebih manis perbanyakkan gula manisannya, jika mahu masin maka lebihkan garamnya dan jika tak suka berlemak maka kurangkanlah santannya.
Semerbak aroma di dapur mencanak-canak memecahkan liur, alangkah enak menikmati hidangan Ketupat Sotong bertelur.
* Zanazanzaly ialah penulis buku gastronomi. Karya terlaris beliau termasuk "10 Juadah Nan Berkisah".
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Zanazanzaly
Sun Jan 06 2019

Resipi Ketupat Sotong bukan sahaja sedap dan lazat tetapi falsafah tersirat di sebalik pembikinannya ialah sifat tolong-menolong yang tulus ikhlas. - Gambar hiasan

Wanita dipenjara 10 tahun kerana amang seksual anak perempuan jiran
Seorang wanita dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen, selepas didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun.

Empat RUU berkaitan kecekapan perkhidmatan, kerajaan tempatan dibentang di Dewan Rakyat
RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 bertujuan meningkatkan kualiti, kecekapan, dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan.
[TERKINI] Dua lagi kakitangan digantung, pengurusan Astro bertemu MCMC
Astro Audio adakan siasatan dalam terperinci berhubung kes kandungan dalam talian yang menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat khususnya kaum India. Pengurusan Tertinggi Astro telah mengadakan perjumpaan dengan MCMC.

Kandungan kurang sensitif: Astro Audio bertemu MCMC, gantung tugas Azad, Nabil, Radin dan dua lagi
Susulan insiden penerbitan kandungan kurang sensitif sehingga menyakiti hati dan mengundang kekecewaan pelbagai pihak, pihak Astro Audio telah menggantung tiga penyampai radio Pagi ERA dan dua lagi.

Pengembalian autonomi Parlimen sebahagian besar reformasi institusi Madani - PM
Kerajaan mahu pastikan Parlimen berfungsi sebagai badan legislatif yang benar-benar bebas, berwibawa, dan berdaya saing.
Hakim Jepun dipilih sebagai presiden baharu ICJ
Hakim Jepun, Yuji Iwasawa dipilih sebagai presiden baharu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi tempoh 2025 sehingga 5 Februari 2027.
Tingkat kemahiran, produktiviti mampu lonjak pendapatan
Peningkatan produktiviti boleh dicapai menerusi program menambah kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kewujudan pusat kecemerlangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Polis sahkan wanita Jepun jatuh dari tingkat 4 isteri usahawan dan pempengaruh
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian wanita warga Jepun yang maut terjatuh dari tingkat 4 sebuah kondominium adalah isteri kepada usahawan dan pempengaruh media sosial.

Remaja perempuan Orang Asli hilang dari rumah
Remaja perempuan Orang Asli hilang dari rumah
Jaga, hormati sensitiviti agama dan budaya Malaysia - Aaron
Menurut Datuk Aaron Ago Dagang dalam satu kenyataan, sebagai sebuah negara yang majmuk, masyarakat perlu memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

Hayati falsafah Ramadan dengan sebaik-baiknya - Mufti Wilayah Persekutuan
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah menjelaskan, dengan ibadah puasa itu ia memberi kesedaran dan keinsafan untuk bersama-sama merasai apa yang dirasai orang lain.

Ahli politik disaran praktik prinsip rukun negara
Teras kelima dalam Rukun Negara itu harus menjadi pemandu kepada ahli politik dalam melaksanakan tugas mereka tanpa menggunakan identiti politik, agama dan ras demi kepentingan masing-masing.

Manfaat tolong-menolong dalam pembikinan Ketupat Sotong
Ketupat Sotong ataupun Sotong Sumbat menyimpan falsafah yang sarat perihal sifat saling tolong-menolong yang amat bermanfaat diamalkan sepanjang hayat demi keuntungan di dunia dan akhirat.