Kita sering dimomokkan dengan 'kejahatan' masyarakat Barat. Budaya Barat seringkali juga diterjemahkan sebagai 'kurang sesuai' untuk serapan dan hadaman masyarakat negara ini.
Budaya seks bebas, mabuk dan menghisap dadah, berpakaian mencolok mata, melantun kata-kata kesat dan pelbagai lagi perlakuan negatif sering disinonimkan dengan mereka ini.
"Jangan terikut sangat budaya barat, tiada yang elok!" kata majoriti rakyat kita.
Ya, tidak pula menafikan mana-mana budaya serong dan mampu memesong akhlak, wajar ditentang dan ditolak bulat-bulat. Namun, mengapa perlu meniru yang jahat sedangkan banyak lagi yang baik boleh diteladani?
Pernahkah melihat 'Mat Saleh' mengemas meja sendiri, angkat talam, lap meja dengan tisu dan buang sampah serta sisa makanan di tong sampah yang disediakan selepas makan di mana-mana restoran?
Banyak lagi nilai murni yang diamalkan mereka, yang pastinya langsung tidak menjadi budaya dan amalan di Malaysia. Keras, tetapi itu realiti yang menyedihkan.
Tandas dijaga
Contohnya, memastikan tandas awam bersih dan kering selepas digunakan, meletak semula troli pasar raya di tempat yang disediakan selepas digunakan, tidak merokok di tempat awam, memberi peluang orang keluar daripada tren terlebih dahulu, dan banyak lagi etika moral lain.
Bukan sahaja masyarakat barat seperti di Eropah dan United Kingdom, negara-negara maju lain seperti Jepun, Korea Selatan dan juga Singapura, lebih keterhadapan dalam kesusilaan dengan rakyatnya menuju ke arah mentaliti kelas pertama.
Kita yang kononnya masyarakat yang penuh santun dan adab pula, tidak mengerti mengemas meja sendiri yang dikotorkan selepas makan. Lagilah hendak ikut amalan murni yang lain.
"Kan ada tukang cuci, ada tukang kemas, buat apa mereka dibayar gaji, kalau aku yang nak kemas sendiri, " itu pemikiran sesetengah anggota masyarakat kita.
Meninggalkan pinggan, tisu kotor, sampah dan segala sisa makan di atas meja selepas perut kenyang terutamanya di restoran makanan segera, medan selera atau kafe yang mengamalkan konsep layan diri, boleh dikatakan sikap majoriti rakyat Malaysia.
Itu belum lagi meja bersepah dan makanan berterabur bagaikan tongkang pecah, dan kemudian ditinggalkan sebegitu sahaja. Jangan lupa di wakaf atau bangku rehat di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) misalnya juga menyaksikan nasib yang serupa.
Tabiat merokok
Bukan setakat itu sahaja. Kita menganggap merokok di tempat makan sebagai sesuatu yang lazim walaupun ia kurang menyenangkan kepada mereka yang lain.
Kita tidak kisah dengan perokok yang selamba membuang abu dan puntung rokok atas meja atau lantai dan sehinggakan ada yang meninggalkannya atas pinggan mangkuk.
Sedihnya, perkara sebegini sudah dianggap lumrah. Lebih menyedihkan, mana-mana individu yang rela membersihkan meja sendiri pula dipandang sinis dan kadang-kadang ditertawakan.
Mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan selepas makan di mana-mana tempat sekalipun, kita meninggalkan semuanya di atas meja atau campak ke lantai meskipun tong sampah dan tempat letak pinggan mangkuk hanya beberapa langkah daripada kita.
Dalam otak kita, kerja mengemas meja bukan tanggungjawab kita, tetapi tanggungjawab petugas restoran atau tukang cuci yang dibayar gaji.
Benar, ada pekerja yang akan membersihkan tetapi di mana ketamadunan kita sebagai manusia? Memang kita bayar bagi makanan itu, tetapi adakah itu lesen besar untuk kita menjadi pengotor dan pemalas?
Jika anda boleh melayan diri anda dengan membuat pesanan sendiri dan mengangkat dulang makanan ke meja sendiri, mengapa tidak mengutip sisa makanan yang anda sendiri sepahkan, lantas mengemas meja dan membuang sampah ke tempat sepatutnya?
Paling-paling malas, mengapa tidak satukan semuanya dalam talam, agar mudah pekerja mengemas, bukannya membiarkannya berselerak.
Bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai sensitiviti dan mentaliti terpuji, mungkin kita sentiasa perlu diingatkan meskipun masing-masing sudah punya akal. Namun adakah ia berkesan?
Lihat sahaja di IKEA, gedung kelengkapan rumah dari Sweden yang terkenal dengan bebola dagingnya. Meskipun sudah ditampal notis besar terang-terang yang meminta dulang dan pinggan diletakkan di sudut khas selepas makan, namun berapa kerat sahaja yang melakukannya.
Meskipun siap ada pelekat ditampal di atas meja makan mengingatkan untuk mengemaskan meja selepas makan, namun majoritinya tetap tidak segan untuk angkat kaki dengan meninggalkan sisa makanan di meja.
Di dinding, IKEA menyatakan, mereka dapat meminimumkan harga makanan dengan cara tidak perlu menggajikan ramai atau membayar pekerja yang digajikan khas untuk mengemas meja makan, sekiranya pengguna sendiri dapat berbuat demikian.
Namun, bukan sahaja IKEA tetapi mana-mana restoran makanan segera terpaksa akur kepada budaya sesetengah rakyat Malaysia yang terlampau sukar hendak membudayakan tabiat yang satu ini.
Kalau masyarakat barat yang kononnya 'jahat' boleh buat, tidakkah itu beri tamparan buat kita masyarakat yang santun dan berbudi bahasa?
Di rumah pun selepas makan, kita angkat pinggan dan kemas meja sendiri bukan? Maka kenapa tidak kekalkan sikap sebegitu ketika berada di luar? Ia juga melambangkan kita sebagai anggota masyarakat yang berpekerti mulia.
Pastinya para pekerja sama ada yang makcik-makcik, achi, uncle, orang kelainan upaya (OKU) atau pekerja asing pun turut berterima kasih. Mereka yang hendak guna meja selepas itu pun pastinya gembira.
Jadi mengapa tidak selepas ini, kita mulakan tabiat kemas, angkat dan buang. Tidak susah, bukan?
* Artikel ditulis oleh Norshazlina Nor'azman.
** Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili sidang pengarang Astro AWANI.
Bernama
Thu Mar 09 2017

Keadaan sebegini sering kita temui di restoran mahupun kafe hidangan segera di negara ini. Siapa sebenarnya patut menguruskan sisa-sisa sendiri? - Gambar hiasan

Astro Shaw perkenal filem 'survival thriller' pertama Malaysia 'Wantugo'
Filem Wantugo dijangka menemui peminat filem tempatan pada penghujung tahun 2025.

RUU PSB pastikan pembangunan semula yang adil, beri manfaat kepada pemilik hartanah
RUU ini turut memperkenalkan mekanisme bagi pemilik yang tidak bersetuju dengan pembangunan semula.

Dua kapal tentera laut Iran tiba di Malaysia untuk lawatan operasi
Dua kapal berkenaan ialah jenis Auxiliary, iaitu Ocean Liner-110-3 Shahid Mahdavi dan kapal kelas frigate IRINS Dena.
Pengerusi Ketua Turus bersama Amerika Syarikat ditamatkan perkhidmatan
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menamatkan perkhidmatan Pengerusi Ketua Turus Bersama Jeneral Charles Brown
Mayat didakwa Shiri Bibas tiba di institut forensik Tel Aviv
Mayat tebusan Israel yang didakwa sebagai Shiri Bibas tiba di Institut Forensik Abu Kabir di Tel Aviv pada awal pagi Sabtu untuk proses pengecaman rasmi.
Arab Saudi larang rekod siaran langsung solat Tarawih
Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan larangan penggunaan kamera untuk merekod jemaah yang menunaikan solat Tarawih, termasuk siaran langsung sepanjang ibadah tersebut dijalankan.

Remaja maut, motosikal terbakar selepas bertembung kereta
Dalam kejadian jam 11.10 malam itu mangsa berusia 18 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
[TERKINI] Suspek cabul kanak-kanak di masjid direman tujuh hari
Lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor direman tujuh hari.

iPhone 17 dijangka guna cip WiFi dibangunkan Apple
Mengikut laporan terbaharu yang hadir ini, Apple dijangka menggunakan cip WiFi baharu mereka pada semua model iPhone 17 baharu tahun ini.

Spotify mula terima buku audio dijana AI
Buat masa ini, Spotify menerima buku audio janaan menggunakan ElevenLabs Voices.

Azizulhasni bawa 'Bahasa Malaysia' ke Melbourne
Tidak ketinggalan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang berusaha memupuk nilai-nilai ketimuran dalam diri anak-anaknya yang kini menetap di Melbourne, Australia.

Rakyat Malaysia, kenapa susah sangat nak kemas meja selepas makan?
Sebenarnya banyak budaya Barat yang boleh kita teladani, terutamanya yang melibatkan etika dan tatacara harmoni hidup bermasyarakat.