PASIR PUTEH: Tatkala masyarakat Cina kebanyakannya meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga dan sanak saudara, berbeza pula dengan Tan Eng Wang yang mahu menyambut perayaan itu bersama jiran tetangga yang rata-rata terdiri daripada masyaraka Melayu.

Lebih menarik, pemilik kedai gunting rambut di sini berusia 75 tahun itu akan menyediakan dan menempah juadah tradisional kaum Melayu seperti nasi dagang, ketupat dan sate untuk menjamu jiran bagi menghargai jasa dan kebaikan yang diberikan mereka.

"Ramai saudara saya telah meninggal dunia, jadi pada hari pertama Tahun Baharu Cina lazimnya saya akan menyambut perayaan ini bersama jiran berbangsa Melayu kerana ingin mengekalkan tradisi berkongsi rezeki dengan mereka melalui jamuan dan pemberian angpau.

"Pada 10 pagi mereka sudah bertandang ke rumah saya untuk menikmati juadah yang disediakan, saya rasa sungguh gembira kerana dapat mengekalkan keharmonian dengan jiran tetangga," katanya kepada Bernama di rumahnya dekat Selising, di sini hari ini.

Wanita warga emas yang menetap lebih 40 tahun di kawasan itu berkata rutin tradisi yang diamalkannya itu juga diwarisi anak perempuan serta cucunya sebagai tanda persahabatan dan kasih sayang kepada jiran yang sudah dianggap seperti saudara sendiri.

"Saya tidak pernah rasa terasing menetap di kawasan perkampungan orang Melayu, malah hampir setiap hari kedai gunting saya menjadi tempat untuk mereka berkumpul sambil menikmati minum petang.

"Kalau kita ada masalah atau perlukan sebarang bantuan, jiran-jiran inilah yang selalu bantu dan kami melayan mereka dengan cara yang sama," katanya yang akan berkunjung ke rumah saudara-mara di Bachok dan Kuala Krai esok.

Sementara itu, Kamariah Daud, 73, yang tinggal bersebelahan dengan rumah Tan berkata mereka telah lama berkawan dan sentiasa menjadi tetamu semasa perayaan Tahun Baharu Cina.

"Semua menu yang disediakan Tan ialah masakan tradisional yang ditempah daripada orang Melayu, jadi kami rasa sungguh gembira sebab dia sentiasa ingat pada rakan-rakannya," katanya.

-- BERNAMA