POLEMIK mengenai sekolah vernakular sekali lagi masuk ke tengah gelanggang tetapi kali ini dalam senario yang sama sekali berbeza ketika mana persekitaran politik negara sudah mengalami perubahan yang cukup ketara sejak merdeka. Perubahan itu ditandai dengan keputusan pilihan raya umum yang lalu apabila pola pengundian jelas menunjukkan wujudnya perpecahan kaum dan kelas serta perpecahan antara masyarakat bandar dan luar bandar.
Penganalisis dan pemerhati politik kini hampir sepakat mengatakan bahawa tidak berlaku apa yang dikatakan sebagai "tsunami kaum Cina". Apa yang berlaku sebaliknya adalah — secara analisis mudah — pengundi Cina majoritinya mengundi Pakatan Rakyat manakala pengundi Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak umumnya memilih Barisan Nasional. Analisis yang lebih mendalam dan terperinci turut menunjukkan ada peralihan undi masyarakat Melayu kepada Pakatan Rakyat terutamanya di bandar.
Selepas pilihan raya selesai dan kita berdepan dengan realiti baru politik, isu sekolah vernakular sekali lagi jadi perbincangan hangat. Kita sekali lagi dihadapkan dengan persoalan mengenai sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Bagaimanapun, dalam banyak polemik itu, ia hanya menyentuh kedudukan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC); kedudukan SJK Tamil tidak pula terdengar lantang — hairan juga.
Persoalan yang ditimbulkan ialah sekolah vernakular dilihat jadi tembok penghalang kepada perpaduan kaum — bahawa negara ini seharusnya ada satu aliran sekolah sahaja. Ini bukan satu isu baru. Ini isu yang berbangkit dari masa ke masa. Ini isu yang telah membayangi wacana hubungan kaum di negara ini sejak merdeka.
Gabungan NGO Melayu-Islam yang mendakwa menaungi 130 buah pertubuhan bukan kerajaan itu pada awal minggu ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak mengotakan janji pilihan raya yang dibuat kepada masyarakat Cina. Janji itu ialah untuk menambah sekolah vernakular dan menaiktaraf institusi pengajian tinggi Cina di tiga buah negeri. Janji itu, kata mereka, bersyarat. Syaratnya ialah pengundi Cina mesti memberi sokongan padu kepada BN.
"Oleh kerana kemenangan BN didokong kuat oleh pengundi dari Sabah dan Sarawak dan bukannya daripada pengundi Cina yang memungkiri janji, maka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi terikat untuk menunaikan janji yang telah dibuat kepada mereka," kata Gabungan NGO Melayu-Islam itu dalam kenyataan medianya pada 11 Jun lepas.
Desakan itu mempunyai masalah dasar yang serius mengenai pilihan raya dan sistem kenegaraan. Apabila pilihan raya diadakan apakah pengundi hanya boleh membuat satu pilihan dan pilihan itu adalah BN semata-mata dan tidak yang lain? Apakah ada undang-undang yang menetapkan demikian? Adakah itu sistemnya?
Perdana Menteri dan kerajaannya tentu sama sekali tidak berfikir seperti apa yang difikirkan oleh 130 NGO itu. Sepanjang kempen pilihan raya yang lalu, baik Najib mahupun timbalannya yang juga Menteri Pelajaran berulang kali menegaskan bahawa kerajaan BN akan mempertahankan kedudukan sekolah Cina.
Semasa siri jelajah kempen mereka ke serata negara, itulah yang mereka sebut dalam hampir semua rapat umum termasuk pengumuman bantuan kewangan untuk sekolah Cina. Dalam satu majlis di Klang pada 21 April misalnya, Najib mengumumkan bahawa bantuan tahunan sebanyak RM100 juta kepada sekolah Cina akan diteruskan. Malah ada juga beberapa pengumuman yang menyentuh sekolah persendirian Cina.
Satu soalan yang wajar ditanya sekarang ialah di mana suara 130 NGO itu apabila Perdana Menteri dan timbalannya yang juga Menteri Pelajaran itu membuat penegasan dan pengumuman tersebut pada waktu itu? Kalau sekarang ini sekolah vernakular dilihat sebagai tembok penghalang perpaduan kaum, bagaimanakah sifatnya sebelum pilihan raya lalu? Adakah sebelum 5 Mei lalu ia tidak menjejaskan perpaduan kaum tetapi tup-tup selepas keputusan pilihan raya diketahui maka ia jadi penghalang perpaduan?
Kita tidak usah hipokrit. Kita jangan jadi munafik. Hakikatnya, SJKC itu bukannya baru tegak berdiri selepas pilihan raya lalu. Sekiranya ia penghalang kepada perpaduan, kenapakah BN membuat penegasan akan mempertahankan sekolah vernakular dan meneruskan bantuan kepada sekolah-sekolah itu? Jangan juga kita lupa bahawa pentadbiran Najib sebelum pilihan raya umum yang lalu menunjukkan usaha untuk menyelesaikan soal pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang telah lama tertunggak.
Jadi apa isu sebenarnya?
Misalkan saja begini. Misalkan pada 5 Mei lepas, keputusan pilihan raya itu tidak seperti yang sudah ditentukan oleh rakyat dan BN menang besar dengan rekod yang lebih baik berbanding pilihan raya umum 2008. Misalkan undi kaum Cina yang lari pada 2008 patah balik kepada BN. Misalkan juga DAP terperosok kalah teruk dan pemimpin-pemimpin utamanya kalah seperti pada 1999.
Kalau itulah yang terjadi, apakah hal-hal yang dibangkitkan oleh 130 NGO itu akan berbangkit sekarang? Kalau BN menang besar dan DAP tersungkur, apakah sekarang ini kita akan berpolemik semula tentang sekolah satu aliran dan cadangan mahu menghapuskan sekolah vernakular?
Gabungan NGO Melayu-Islam itu pada Jumaat mengeluarkan satu kenyataan yang lebih keras. Ia mendesak kerajaan supaya menggantung pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 sehingga isu sekolah vernakular diselesaikan menurut Perlembagaan Persekutuan. Ia mendakwa khuatir pelan itu haram dengan alasan "ia jelas bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan dan perlaksanaannya akan mengancam perpaduan nasional yang menjadi idaman setiap rakyat Malaysia".
NGO itu juga menyatakan kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, P. Kamalanathan yang mengatakan kerajaan akan terus membantu sekolah vernakular dan tidak akan meminggirkannya. NGO itu mendakwa kenyataan timbalan menteri itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau ultra vires.
"Sebagai seorang yang memegang portfolio pendidikan beliau sepatutnya arif mengenai persoalan sekolah vernakular di sisi Perlembagaan tetapi kejahilannya menjadi liabiliti kepada kabinet berimbang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kami mendesak semua anggota jemaah menteri membuat setiap keputusan berdasarkan kepada landasan Perlembagaan dan tidak mengikut perasaan," kata kenyataan itu.
Eh, ini landasan perlembagaan yang mana? Teks Perlembagaan Persekutuan manakah yang dibaca oleh Gabungan NGO Melayu-Islam ini? Menarik juga kalau mereka kongsikan kepada umum supaya semua orang boleh faham jalur pemikiran dan asas hujah mereka apabila merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan.
Apatah lagi dalam kenyataan media yang sama mereka meminta rakyat untuk "membiasakan diri dengan peruntukan-peruntukan perlembagaan yang menjamin hak semua rakyat." Apakah hak itu dan apakah pula makna semua rakyat? Tidakkah hak semua rakyat itu terkandung dalam Akta Pendidikan khususnya seksyen 28 yang dibaca bersama seksyen 17 dan 18 yang memberi nyawa dan rupa jiwa kepada sekolah vernakular?
Jangan-jangan mereka pukul anak sindir menantu. Gabungan 130 NGO itu menghentam Kamalanathan tetapi tempiasnya tidak dapat dielak terpercik kepada Perdana Menteri dan timbalannya yang juga menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pelajaran. Kalau kenyataan itu dibuat secara sedar, itu sudah jadi cerita lain. Tetapi kalau mereka tidak sedar kesan kenyataan itu, ingat-ingatlah pepatah Melayu: Terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik.
NGO itu jangan sama sekali lupa bahawa lima hari selepas PRU-13, Najib dalam kenyataannya memberikan bayangan mengenai corak pentadbiran beliau untuk lima tahun akan datang dan menyentuh beberapa perkara penting yang akan menjadi teras pendekatan pentadbirannya.
Pertama, bahawa beliau mahu jadi Perdana Menteri bagi semua rakyat "tidak kira agama, bangsa mahupun ideologi politik anda". Kedua, berusaha bersungguh-sungguh menolak fahaman ekstrem dan perkauman yang tidak memanfaatkan negara. Ketiga, meneruskan usaha untuk meningkatkan amalan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah di kalangan rakyat berbilang kaum.
Isu sekolah vernakular memang sudah lama dibahaskan. Namun kebanyakan wacana itu cenderung untuk melihatnya sebagai batas pemisah hubungan kaum — sudah-sudahlah. Kenapa tidak kali ini kita cuba untuk melihatnya dengan sorot mata yang lain iaitu merayakan perbezaan kita — bahawa kita tidak sama tetapi serupa; bersatu dalam kepelbagaian masing-masing. Perbezaan itu bukan meruntuhkan kita sebaliknya jadi perekat yang mengukuhkan.
Apabila kita terus berpolemik tentang sekolah vernakular, jangan-jangan kita ini sebenarnya berlari-lari dalam bulatan — pusing-pusing di situ juga. Kita tersesat tidak jumpa jalan keluar seperti pemburu kijang yang disorok oleh jembalang hutan.
Tetapi sesat kita kali ini lebih rumit daripada yang sebelumnya. Ini kerana persekitaran politik negara sudah berubah. Selebihnya, kerana ada usaha untuk mengelirukan kita semua seperti apa yang dilakukan oleh gabungan 130 NGO itu misalnya yang memetik kononnya Perlembagaan Persekutuan.
Yakinlah, ada pihak yang akan terus jadi penyebar pemikiran tersebut dan ada kumpulan masyarakat yang akan percaya dengan apa yang dikatakan oleh gabungan 130 NGO itu.
Selepas itu, kita semua ini akan jadi bagaimana dan negara ini akan jadi apa?
Noor Azam Shairi
Sat Jun 15 2013
Ops DUN: Jangan campur tangan siasatan SPRM - Masidi
Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebarang komen berhubung proses siasatan agensi penguatkuasa itu boleh dilihat sebagai satu campur tangan dan ia tidak sepatutnya berlaku.
Kapitalisme tanpa kawalan mesti berakhir - PM Anwar
Kapitalisme yang tidak terkawal mesti berakhir, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Pengerusi Eksekutif WEF, Klaus Schwab ketika menjawab apa yang menjadikan seorang pemimpin politik berjaya.
#AWANInews #WEF25
#AWANInews #WEF25
Daftar Pemilih Tambahan Disember 2024 dibuka untuk semakan - SPR
Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2024 (DPT BLN12/2024) boleh dibuat untuk tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 22 Feb.
Abg Yahya rangkul emas kedua pada Boling Para Dunia di Hong Kong
Pemain boling para kebangsaan Abg Yahya Abg Azhar mencuri tumpuan dengan meraih pingat emas kedua dalam Kejohanan Boling Dunia Para IBF 2025 di Hong Kong.
JKN Perak rampas steroid anabolik, produk kosmetik bernilai RM2.06 juta
Operasi berkenaan dijalankan terhadap enam premis di sekitar Perak dan dipercayai ia dijadikan sebagai stor simpanan bagi semua produk tidak sah itu.
Najib anggap surat derma daripada Arab Saudi tulen
Najib berkata beliau tidak bertanyakan mengenai keaslian surat-surat berkaitan derma daripada Arab Saudi kerana beliau menganggap dokumen itu adalah tulen.
Bitcoin: Lebih 60 pemilik rumah, premis jadi mangsa pendawaian haram
Lebih 60 pemilik rumah dan kedai berdepan tuntutan bayaran elektrik daripada TNB selepas premis mereka diguna penyewa menjalankan kegiatan bitcoin.
Harga runcit RON95 kekal, RON97 dan diesel naik lima sen
Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter manakala harga RON97 meningkat lima sen daripada RM3.38 seliter kepada RM3.43 seliter bagi tempoh 23 hingga 29 Jan.
WEF 2025: Sesi Perdana Menteri bersama Pengerusi Eksekutif WEF
Ikuti sesi perbualan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Sedunia (WEF) Prof Klaus Schwab.
Pempengaruh Malaysia ke ASEAN live creators anjuran Tiktok
Dua pencipta kandungan dari Malaysia berjaya ke program ASEAN Live Creators for Change anjuran Yayasan ASEAN dan TikTok.
Mereka adalah antara 20 pencipta kandungan muda dari 10 negara ASEAN yang dipilih untuk menghasilkan kandungan secara langsung bagi memberi inspirasi kepada penonton mengenai sosiobudaya yang relevan di rantau ini.
Mereka adalah antara 20 pencipta kandungan muda dari 10 negara ASEAN yang dipilih untuk menghasilkan kandungan secara langsung bagi memberi inspirasi kepada penonton mengenai sosiobudaya yang relevan di rantau ini.
Ada apa dengan sekolah Cina?
Noor Azam Shairi cuba memahami desakan Gabungan NGO Melayu-Islam yang mahu sekolah vernakular dihapuskan daripada sistem pendidikan negara.