Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, melalui pentas global itu, syarikat tersebut memberi tumpuan kepada usaha menjalin kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa bagi membawa penyelesaian 5G terkini ke Malaysia.
“U Mobile komited untuk bekerjasama dengan rakan teknologi global bagi membawa penyelesaian 5G tercanggih ke Malaysia.
“Keutamaan kami adalah memacu inovasi, memperluas aplikasi 5G dan memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam transformasi digital,” katanya kepada Astro AWANI seiring MWC 2025 di sini hari ini.
Ujar beliau, U Mobile terus memperkukuh peranannya sebagai penyedia rangkaian 5G kedua Malaysia dengan memperkenalkan inovasi terkini di MWC 2025, dengan fokus kepada sektor pertanian dan penyiaran.
Ia sekali gus mencerminkan komitmen U Mobile dalam mempercepat transformasi digital negara.
"Dalam sektor pertanian, kami bekerjasama dengan Braintree Technologies untuk mengintegrasikan robotik dengan sambungan 5G.
“Dalam bidang penyiaran, kami mempamerkan pelaksanaan langsung teknologi 5G Advanced di Sukan Malaysia (SUKMA), salah satu acara sukan paling ikonik di Malaysia," katanya.
Mengulas lanjut mengenai sektor pertanian, Ooi Yuen berkata Braintree Technologies pakar dalam pengurusan ladang kelapa sawit menggunakan dron berasaskan 5G untuk pemetaan pokok dan analisis kesihatan secara terperinci.
“Dengan data ini, pekebun dapat menentukan keperluan baja setiap pokok secara spesifik.
“Braintree telah membangunkan robot berasaskan 5G yang secara automatik akan menyebarkan baja dengan kuantiti yang tepat berdasarkan analisis kecerdasan buatan (AI).
“Ketepatan ini mengurangkan pembaziran dan mengoptimumkan kos kepada pekebun,” jelasnya.
Selain itu, syarikat tersebut bekerjasama dengan Huawei Technologies untuk menyediakan liputan 5G yang lancar di Jambatan Pulau Pinang sepanjang 13.5 kilometer tanpa tapak perantara, sesuatu yang tidak dapat dicapai dengan 4G.
“Kejayaan ini membuka jalan kepada aplikasi seperti pemantauan keselamatan jarak jauh serta tindak balas kecemasan menggunakan dron yang dikuasakan oleh rangkaian 5G,” tambahnya.
Melihat ke hadapan, Ooi Yuen berkata industri seperti pembangunan bandar pintar, logistik dan automasi industri akan mendapat manfaat daripada pengembangan 5G U Mobile berteraskan kepada peningkatan infrastruktur dan aksesibiliti.
