Skip to main content

Malaysia

Azeem Fahmi bangga perjalanan empat tahun walaupun penamat tidak menjadi

Pemegang rekod 100 meter (m) lelaki negara, Muhammad Azeem Fahmi, tidak bercadang untuk memecah rekod peribadi terbaiknya pada Kejohanan Olahraga Jemputan Yellow Jacket di Atlanta, 20 dan 21 Mac ini.
Muhammad Azeem turut merakamkan penghargaan kepada mereka yang memainkan peranan penting sepanjang perjalanannya, khususnya rakan sepasukan, ahli keluarga dan barisan kejurulatihan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi mungkin menamatkan kerjaya dalam kempen olahraga dengan Universiti Auburn tanpa kejayaan, namun beliau membawa pulang sesuatu lebih berharga, iaitu perkembangan selama empat tahun, pengalaman serta kenangan tidak dapat dilupakan. 

Mengimbau perjalanannya selama empat tahun di Amerika Syarikat, pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) itu menyifatkannya sebagai tempoh yang membentuk dirinya di dalam dan luar trek.

“Tiada trofi untuk saya dalam perlumbaan terakhir kolej, tetapi saya sangat bangga untuk pulang dengan segala yang telah saya lakukan bersama-sama pasukan ini.

“Saya boleh mengatakan dengan bangga bahawa saya mempunyai rakan sepasukan, jurulatih, pegawai sokongan dan pasukan terbaik di dunia,” katanya menerusi hantaran Instagram.

Pada Jumaat lepas, Muhammad Azeem dan rakan sepasukan Universiti Auburn gagal mempertahankan gelaran di Kejohanan NCAA di Amerika Syarikat apabila kuartet itu dibatalkan penyertaan akibat kesilapan pertukaran baton dalam final 4x100m lelaki.

Pada Rabu lepas, pelari berusia 22 tahun itu mencuri tumpuan apabila membantu kuartet Universiti Auburn melakar rekod baharu NCAA dalam acara 4x100m pada kejohanan sama. 

Pemenang pingat gangsa 100m lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 itu bersama-sama Kanyinsola Ajayi, Austin Kresley dan Tyler Davis mencatat masa 37.75 saat (s) pada saingan separuh akhir untuk memadam rekod NCAA 37.90s yang dipegang Louisiana State University dari Mei 2023. 

Sementara itu, atlet kelahiran Perak itu mengakui berasa sukar untuk mempercayai apabila melihat semula perkembangan dirinya selepas menyertai program itu empat tahun lepas.

“Tidak terkira jumlah podium, rekod, dan pencapaian. Trek kolej telah mengajar saya cara untuk menang dan kalah serta bersyukur dengan setiap peluang yang saya miliki,” katanya. 

Muhammad Azeem turut merakamkan penghargaan kepada mereka yang memainkan peranan penting sepanjang perjalanannya, khususnya rakan sepasukan, ahli keluarga dan barisan kejurulatihan.

Selepas menamatkan tempoh di universiti itu, Muhammad Azeem berkata beliau kini memberi tumpuan kepada peringkat seterusnya dengan meletakkan sasaran lebih besar dalam sukan tersebut. 

“Saya percaya ini satu lagi langkah perlu saya ambil untuk menjadi atlet dan individu lebih baik pada masa hadapan. Saya tahu ia tidak akan mudah, tetapi tanpa risiko, tiada ganjaran. Yang terbaik masih belum tiba,” katanya. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement