SHAH ALAM: Agrobank dan Management and Science University (MSU) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan bakat dan kompetensi industri halal, dengan sasaran melahirkan 5,000 penggiat industri yang berpengetahuan dan berkemahiran.
Kerjasama itu merupakan kesinambungan kepada inisiatif Halal@Agrobank yang dilancarkan baru-baru ini di Penang International Halal Expo (PIHEX) 2026, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha Agrobank memperkukuh ekosistem halal negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kerjasama itu adalah langkah penting dalam menyediakan tenaga profesional yang mampu menyokong pertumbuhan ekosistem halal negara.
“Industri halal bukan sahaja memerlukan lebih ramai usahawan, tetapi juga tenaga profesional yang mempunyai kompetensi untuk membantu mereka berkembang. Justeru, pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan pembangunan usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) pembangunan bakat dan kompetensi industri halal di Shah Alam pada Isnin.
Beliau menambah, inisiatif itu menyediakan laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun bagi membantu usahawan agromakanan meningkatkan pematuhan kualiti serta menembusi pasaran halal yang lebih luas.
Menerusi kolaborasi ini, MSU akan menyediakan kepakaran dalam pendidikan dan latihan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyelidikan serta pembangunan kompetensi melalui International Centre for Halal Studies (ICHLAS).
Agrobank pula akan berperanan menghubungkan kepakaran tersebut dengan pembangunan usahawan, akses pembiayaan, khidmat nasihat halal dan peluang pasaran.
Sementara itu, Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Mohd Shukri Ab Yajid berkata, kerjasama itu memperkukuh ekosistem 'Industry-Embedded University' yang diamalkan oleh MSU bagi melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing.
“Hubungan erat antara universiti dan industri amat penting bagi memastikan pendidikan kekal relevan.
“Di MSU, kami melihat industri bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, malah sebagai rakan pembangunan yang menyumbang kepada pengukuhan kurikulum dan penyelidikan,” ujar beliau.
Selain sasaran 5,000 penggiat industri, kerjasama itu juga menyasarkan untuk melahirkan 300 penggiat halal bertauliah yang mempunyai kompetensi khusus dalam bidang itu.
Langkah ini menyokong Pelan Hala Tuju Halal Agrobank 2026-2030 yang menyasarkan pembangunan 10,000 usahawan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi meningkatkan kapasiti perniagaan dan memenuhi piawaian pematuhan halal global.
MoU tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam menyokong agenda keterjaminan makanan serta pembangunan usahawan agromakanan yang mampan, inovatif dan berdaya saing di pasaran tempatan serta antarabangsa.