Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Loh Sze Yee berkata kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai keputusan itu dan ia diharap hanya pendekatan sementara bagi penyusunan semula strategi syarikat bagi destinasi baru.
"Oleh itu amat diharap AirAsia untuk mempertimbangkan penyambungan semula operasi penerbangan laluan Ipoh-Singapura," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Loh berkata mengikut data laluan Ipoh-Singapura sememangnya mendapat sambutan yang baik selama ini dan keputusan itu dikhuatiri akan memberi impak yang kurang baik kepada Ipoh dan Perak dalam pelancongan dan pelaburan serta industri.
Beliau berkata keputusan itu juga bertentangan dengan usaha kerajaan merancakkan pengangkutan udara di Ipoh dan kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama untuk melancar serta memudahkan pengurusan operasi penerbangan domestik dan antarabangsa.
"Pada masa ini kerja-kerja naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang sedang dilaksanakan dan ia merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dan Persekutuan untuk tambah baik serta meningkatkan fasiliti bagi mengoptimumkan perkhidmatan penerbangan," katanya.
Terdahulu dalam satu kenyataan AirAsia mengumumkan penggantungan operasi laluan Ipoh-Singapura berkuat kuasa 25 April.
Mengikut kenyataan itu AirAsia akan menggantung 17 perkhidmatan mereka termasuk laluan Ipoh-Singapura di LTSAS yang bermula 2 Dis 2018 bagi menyemak serta menyelaraskan operasi syarikat berkenaan.
-- BERNAMA
