KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand sedang memperkukuhkan hubungan dagangan dengan sasaran baharu yang lebih tinggi dengan meningkatkan nilai perdagangan dua hala kepada  AS$30 bilion menjelang 2027.

Lawatan rasmi Umesh Pandey ke Malaysia sebagai Wakil Perdagangan Thailand, menekankan kerjasama ekonomi dan menghapuskan halangan perdagangan bagi memastikan kedua-dua negara dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan masing-masing.

"Malaysia adalah antara jiran paling makmur yang kita ada

"Jika kita mahu berkembang, Malaysia adalah antara pasaran terbaik untuk kita masuk, dan begitu juga sebaliknya", ujar Umesh Pandey.

Umesh menggariskan beberapa peluang dagangan baharu yang boleh diteroka Thailand dan Malaysia:

1) Potensi sektor-sektor yang boleh dimanfaatkan bersama

Malaysia dan Thailand memiliki kelebihan tersendiri dalam sektor tertentu yang boleh saling melengkapi.

Malaysia mempunyai kekuatan dalam sektor halal, bioteknologi pertanian dan sektor kewangan.

Manakala, Thailand terkenal dengan keupayaan dalam sektor automotif, perubatan, dan bahan binaan.

"Dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing, kedua-dua negara boleh mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan memperluaskan peluang pelaburan", katanya.

2) Memudahkan laluan sempadan, mempercepat urusan perdagangan

Kata beliau, sekitar 25 peratus perdagangan antara Malaysia dan Thailand berlaku di kawasan sempadan.

Umesh menyatakan hasratnya untuk mengkaji sendiri cabaran yang dihadapi di pintu sempadan bagi memahami isu sebenar yang perlu diselesaikan.

Beliau menekankan kepentingan mempermudah aliran perdagangan, mengurangkan hlangan bukan tarif, serta memastikan urusan logistik lebih cekap bagi mencapai sasaran sebelum 2027.

3) Meningkatkan kesalinghubungan perniagaan

Thailand baru-baru ini membawa lebih daripada 20 syarikat ke Malaysia dalam sesi pemadanan perniagaan, menunjukkan komitmen sereius untuk meningkatkan hubungan ekonomi.

"Jika sekurang-kurangnya 10 peratus daripada syarikat ini berjaya menjalinkan kerjasama, ia sudah merupakan satu kejayaan, tegas Umesh.

4) Malaysia Pengerusi ASEAN: Peranan, Tanggungjawab dan Komitmen lebih besar

Kata beliau, dalam konteks yang lebih luas, Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN.

"Ini membuka peluang lebih besar bagi Malaysia untuk memimpin usaha memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN.

Wakil Perdagangan Thailand itu menyatakan keyakinannya bahawa perpaduan ASEAN adalah kunci kestabilan ekonomi serantau, terutama dalam menghadapi cabaran global yang tidak menentu.

5) Masa depan perdagangan Thailand-Malaysia

Matlamat AS$30 bilion bukan sekadar angka di atas kerta, ia adalah simbol aspirasi untuk membawa kemakmuran kepada rakyat kedua-dua negara.

Usaha bersama menghapuskan sekatan perdagangan, meningkatkan kecekapan logistik, serta menggalakkan lebih banyak pelaburan rentas sempadan, Malaysia dan Thailand mampu mencipta ekosistem ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya saing.

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra berkata, Malaysia merupakan antara rakan dagangan terbesar Thailand di ASEAN, dengan purata nilai perdagangan sebanyak AS$24.73 bilion setahun dari 2017 hingga 2023.

Umesh Pandey optimis bahawa dengan usaha berterusan dan komitmen politik yang kukuh, matlamat ini bukan sahaja boleh dicapai sebelum 2027, malah boleh menjadi model kejayaan bagi kerjasama perdagangan di seluruh ASEAN.