Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, prinsip ini menjadi antara teras utama Wawasan Komuniti ASEAN 2025 di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini.
“Dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang dibawa oleh perubahan geopolitik, adalah penting untuk ASEAN menilai keadaan dan memahami impak yang mungkin dibawa kepada landskap ekonomi serantau.
“Sebagai respon kepada cabaran-cabaran ini, amat penting untuk kita memperkasakan solidariti dalaman dan mempelbagaikan kerjasama strategik di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia akan membentangkan cadangan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China dalam sesi permukiman tersebut.
“Memperkukuh integrasi ekonomi serantau, mempercepatkan inisiatif seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, serta berdialog dengan rakan global dapat membantu ASEAN menghadapi cagaran ini,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, ASEAN telah membuktikan daya tahan ekonominya apabila berjaya mencatatkan pertumbuhan konsisten pasca pandemik COVID-19, termasuk pertumbuhan berterusan kemasukan pelaburan langsung asing sejak sedekad lalu.
“Unjuran pertumbuhan ASEAN adalah sekitar 4.6% pada 2024 dan 4.7% pada 2025.
“Walaupun ini mungkin kelihatan sederhana dalam tempoh ini, ia dilihat sebagai memberangsangkan dan petunjuk yang baik terhadap keadaan ekonomi ASEAN,” katanya.
Tambahnya, kepengerusian Malaysia tahun ini juga akan didasarkan kepada prinsip asal penubuhan ASEAN iaitu kemampanan dan keterangkuman, di mana suara setiap anggota akan didengari secara sama rata.
“Semangat solidariti ASEAN telah dan akan terus menjadi asas kepada kemajuan kita.
“Jadi saya menggalakkan semua untuk bersikap terbuka, berterus terang, dan jujur dalam perbincangan kita demi memajukan kepentingan bersama,” katanya.
AEM 2025 mengumpulkan Menteri, Timbalan Menteri atau Ketua Pengarah Perdagangan 10 negara anggota ASEAN dan satu negara pemerhati di bawah kepengerusian Malaysia.
Ia dimulakan dengan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan selama dua hari pada 26 dan 27 Feb, diakhiri dengan AEM hari ini.
