KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang memberikan pengecualian penuh duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi rumah pertama bernilai sehingga RM750,000 pula, pembeli akan menikmati pengecualian penuh duti setem untuk RM500,000 pertama dan diskaun 50 peratus bagi baki nilai hartanah tersebut.
"Insentif tersebut terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan bermula 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut memperkenalkan langkah bagi menangani isu projek perumahan terbengkalai dengan sasaran mencapai sifar projek terbengkalai menjelang 2030.
Menurut beliau, pengecualian penuh duti setem akan diberikan ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang disempurnakan oleh kontraktor atau pemaju penyelamat serta pembeli asal projek perumahan terbengkalai.
"Insentif berkenaan juga akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
"Langkah itu dijangka dapat menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, selain mempercepatkan usaha memulihkan projek perumahan bermasalah demi melindungi kepentingan pembeli yang terjejas," katanya.