Skip to main content

Bisnes

Belanjawan 2027: Sabah terima RM18.7 bilion, Sarawak RM16.2 bilion catat peruntukan tertinggi

Menurut Anwar, komitmen terhadap MA63 adalah sebahagian daripada tanggungjawab nasional yang wajib dilaksanakan secara saksama. - Gambar Bernama
Menurut Anwar, komitmen terhadap MA63 adalah sebahagian daripada tanggungjawab nasional yang wajib dilaksanakan secara saksama. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak terus mencatatkan agihan peruntukan Persekutuan tertinggi dalam Belanjawan 2027 masing-masing berjumlah RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurut beliau, komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah sebahagian daripada tanggungjawab nasional yang wajib dilaksanakan secara saksama.

"Selama puluhan tahun, Pemberian Khas tidak seiring dengan keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak. Kerajaan MADANI telah meningkatkan kadar Pemberian Khas sebanyak tiga kali, dengan kadar interim terkini berjumlah 1.5 bilion ringgit," kata beliau sewaktu berucap di Parlimen hari ini.

Jelas beliau, bayaran interim berkenaan akan dilunaskan sebelum hujung tahun ini sementara perbincangan formula tahunan yang adil dan mampan terus dimuktamadkan bersama kerajaan kedua-dua negeri.

Kerajaan turut menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak, membolehkan seramai 4,200 pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi setiap tahun.

Selain itu, projek jaringan jalan raya di wilayah Borneo menerima suntikan RM3.3 bilion, di samping peruntukan RM350 juta bagi kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 di Sabah dan Sarawak.

Menyentuh agihan di Semenanjung, Anwar menegaskan konsep keserataan pembangunan diterjemahkan mengikut keperluan mendesak rakyat setiap negeri.

Bagi Johor, kerajaan bersetuju melaksanakan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) di Johor Bahru serta menambah perkhidmatan bas henti-henti dan Grab Shuttle bagi menyuraikan kesesakan menjelang pembukaan RTS Link.

Isu banjir kilat di Lembah Klang pula ditangani menerusi peruntukan segera RM100 juta bagi pembinaan kolam takungan dan penyelenggaraan sungai, selain penilaian keupayaan Empangan Batu dan Klang Gate untuk tempoh 30 tahun akan datang bersama Kerajaan Selangor.

Bagi melonjakkan sektor industri negeri, kerajaan menyediakan potongan cukai sehingga RM5 juta ke atas kos pemindahan operasi vendor automotif tempatan ke Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Perak.

Dalam masa sama, Pulau Pinang diperkukuh sebagai hab kewangan teknologi menerusi penyediaan Dana Pelaburan Strategik bernilai RM100 juta oleh Khazanah dan InvestPenang bagi menyokong syarikat semikonduktor tempatan.

Must Watch Video

Advertisement