Katanya, kerugian bersih teras kumpulan pada 2QFY25 sebanyak RM31 juta menjadikan kerugian bersih teras 1HFY25 kepada RM65 juta berbanding anggaran kerugian bersih FY25 dan konsensus sebanyak RM65 juta/RM83 juta.
"Kerugian yang lebih besar daripada jangkaan adalah disebabkan daripada promosi produk dalam kedai yang tinggi sebagai usaha memacu kehadiran pelanggan ke Starbucks di tengah-tengah boikot pengguna yang berterusan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun gencatan senjata di Gaza adalah positif dan Berjaya Food berada dalam kedudukan lebih baik untuk membina semula ekuiti jenamanya dalam kalangan pengguna domestik pada FY25.
Katanya, bagaimanapun dengan peningkatan persaingan industri, mendapatkan semula bahagian pasaran akan menjadi satu cabaran memandangkan landskap rangkaian kopi yang mencabar pada masa ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM35.33 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25), menandakan kerugian untuk suku kelima berturut-turut.
Hasil suku tahunan susut satu pertiga kepada RM123.1 juta berbanding RM182.55 juta setahun sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, hasil Berjaya Food pada 2QFY25 susut sedikit sebanyak 1% dari suku tahun ke suku tahun yang berpotensi menandakan kemerosotan boikot pengguna dan sedikit kestabilan dalam jumlah jualan.
Bagaimanapun, kerugian kumpulan meningkat sebanyak 8% dari suku tahun ke suku tahun kerana kumpulan itu terus bergantung pada promosi produk untuk mengekalkan kehadiran pelanggan dan terus bertahan persaingan berterusan.
Pada akhir 2QFY25, kumpulan itu mempunyai 396 kedai Starbucks, 51 kedai Kenny Rogers Malaysia dan 14 kedai Paris Baguette.
"Kami mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) 25 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com
