KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa berikutan sebahagian pelabur terus melakukan pengambilan untung, mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kebanyakan pasaran serantau.

Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.42 mata atau 0.34 peratus kepada 1,577.34 daripada 1,582.76 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.54 mata lebih rendah kepada 1,580.22.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 161 berbanding 96, manakala 236 kaunter tidak berubah, 1,832 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 233.74 juta unit bernilai RM81.98 juta.

Pasaran saham AS ditutup pada Isnin sempena cuti Persekutuan susulan Hari Presiden dan dagangan disambung pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata lebih banyak laporan pendapatan syarikat akan dikeluarkan dalam dua minggu akan datang.

Beliau berkata pihaknya yakin pertumbuhan pendapatan bagi suku keempat 2024 akan positif dengan Rakuten menjangkakan peningkatan 16.9 peratus bagi tahun kalendar 2024.

"Oleh itu, kami berpandangan prestasi hambar semalam mungkin hanya pembukaan untuk aktiviti pembelian semasa harga murah, justeru kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,580 hingga 1,590 hari ini," katanya kepada Bernama.

Antara kaunter berwajaran tinggi, Maybank susut 16 sen kepada RM10.40, CIMB turun satu sen kepada RM8.29 dan Tenaga Nasional kurang empat sen kepada RM13.88.

Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.49 dan IHH Healthcare menokok empat sen kepada RM7.29.

Techstore yang baru disenaraikan di Pasaran ACE menerajui kaunter aktif apabila melonjak 4.5 sen kepada 24.5 sen manakala Ingenieur Gudang dan Widad Group masing-masing kekal pada 5.5 sen dan empat sen.

Harvest Miracle dan CME Group masing-masing turun setengah sen kepada 14.5 sen dan satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 24.42 mata kepada 12,020.70, Indeks FBMT 100 turun 27.32 mata kepada 11,724.64 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 11.72 mata kepada 11,762.11.

Indeks FBM 70 naik 9.50 mata kepada 17,801.17 namun, Indeks FBM ACE turun 10.91 mata kepada 5,118.04.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menguncup 15.85 mata kepada 7,417.09, serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.56 mata kepada 163.36.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 68.28 mata kepada 19,221.20, dan Indeks Tenaga kurang 0.23 mata kepada 798.06.

-- BERNAMA