Sekilas pandang, keputusan ini mungkin kelihatan lebih ringan dan melegakan, namun segelintir pemain industri masih melahirkan rasa tidak bersetuju dengan langkah tersebut.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin menggariskan beberapa isu utama yang menjadi kebimbangan utama industri terhadap pelaksanaan caruman ini:
1️⃣ Dana mengalir keluar dari ekonomi negara
Caruman 2 peratus mungkin kelihatan kecil, namun kesannya menjadi besar apabila melibatkan lebih kurang 2.5 juta pekerja asing di Malaysia.
"Majikan dijangka menyumbang sekitar RM1 bilion setahun ke dalam KWSP, yang akhirnya dibawa pulang ke negara asal pekerja asing tersebut.
"Dana sebesar ini, jika dikekalkan dalam ekonomi Malaysia, boleh dimanfaatkan untuk pembangunan domestik," kata beliau.
2️⃣ Pekerja asing adalah sementara, perlu caruman jangka panjang?
Pekerja asing di Malaysia adalah tenaga kerja sementara yang tidak menetap lama.
Berbeza dengan rakyat tempatan yang menyimpan untuk persaraan, pekerja asing tidak menikmati manfaat yang sama.
Maka, wujud persoalan sama ada wajar untuk mereka diwajibkan mencarum dalam skim simpanan jangka panjang.
3️⃣ ASEAN: Kenapa ada negara lain tidak melaksanakannya?
Singapura, sebagai negara maju yang sering dijadikan rujukan, sebelum ini mewajibkan pekerja asing mencarum ke Central Provident Fund (CPF), namun memansuhkannya pada tahun 2024.
Kata beliau, kebanyakan negara ASEAN juga tidak mewajibkan caruman KWSP kepada pekerja asing.
"Jika negara-negara ini melihat langkah tersebut sebagai tidak efektif, mengapa Malaysia mengambil pendekatan yang berbeza?" soal Ameer.
4️⃣ Kurangnya libat urus bersama industri dan pemegang taruh
Datuk Ameer turut menekankan bahawa keputusan konomi yang besar seperti ini seharusnya melalui proses libat urus yang lebih teliti untuk memastikan semua pihak memahami implikasi dan bersetuju dengan pelaksanaannya.
Rundingan yang kurang boleh menyebabkan polisi ini sukar diterima oleh industri dan memberi kesan negatif jangka panjang kepada ekonomi.
Walaupun kadar caruman 2 peratus kelihatan kecil, kesan jangka panjang terhadap ekonomi Malaysia tidak boleh dipandang ringan.
Pemain industri seperti Datuk Ameer Ali Mydin menekankan pentingnya membuat keputusan ekonomi berdasarkan libat urus yang menyeluruh dan mempertimbangkan kepentingan negara secara keseluruhan.