KUALA LUMPUR: Pencapaian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus untuk simpanan konvensional dan syariah bagi 2024 akan membantu meningkatkan keyakinan terhadap pasaran modal dan sektor pelaburan, menurut seorang ahli ekonomi.


Ringkasan AI
  • KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30% untuk simpanan konvensional dan syariah bagi tahun 2024, yang meningkatkan keyakinan terhadap pasaran modal dan sektor pelaburan.
  • Prestasi kukuh portfolio pelaburan KWSP menunjukkan daya tahan dalam pasaran Malaysia, menarik keyakinan pelabur termasuk pelabur asing, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
  • Strategi pelaburan KWSP yang pelbagai dan seimbang antara pelaburan tempatan dan antarabangsa terbukti berkesan dalam menguruskan risiko dan memanfaatkan peluang global, memberikan pulangan yang stabil walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.


Profesor Madya Muhammad Irwan Ariffin dari Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata prestasi kukuh portfolio pelaburan KWSP itu menunjukkan daya tahan dalam pasaran Malaysia.

Beliau berkata ini khususnya menarik keyakinan pelabur termasuk pelabur asing yang boleh meningkatkan pelaburan dalam pelbagai projek yang memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia.

"Walaupun terdapat ketidaktentuan berterusan dalam ekonomi global, saya percaya KWSP tetap berada dalam kedudukan yang baik sebagai entiti pelaburan kerana strategi portfolio pelbagai tetapi seimbang yang terdiri daripada 63 peratus pelaburan tempatan dan 37 peratus pelaburan antarabangsa.

"Kedua-duanya menyumbang hampir sama kepada peratusan pendapatan pelaburan (49.7 peratus dan 50.3 peratus) kepada dana tersebut," katanya kepada Bernama.

Katanya, setakat ini, strategi sedemikian terbukti berkesan dalam menguruskan risiko sambil memanfaatkan peluang global.

Beliau menambah, bergerak ke hadapan, keputusan pelaburan yang berhati-hati dan pengagihan aset strategik akan menjadi kunci untuk KWSP mendepani ketidaktentuan ekonomi global.

Semalam, KWSP mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi iaitu sebanyak 6.30 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024, menjadikan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM73.24 bilion.

Prestasi ini dikaitkan dengan pemulihan dalam pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta pengurusan portfolio yang baik.

Bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion iaitu peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding RM66.99 bilion pada 2023.

Muhammad Irwan berkata, setakat September 2024, KWSP menguruskan aset pelaburan berjumlah RM1.22 trilion dengan 62.2 peratus diperuntukkan kepada pelaburan di Malaysia dan 37.8 peratus kepada pelaburan antarabangsa.

Beliau berkata strategi pelaburan KWSP yang pelbagai terbukti berkesan dalam mendepani persekitaran ekonomi global yang mencabar dengan memberikan pulangan yang stabil walaupun di tengah-tengah turun naik pasaran.

"Dengan menyebarkan pelaburan merentasi ekuiti domestik dan antarabangsa, sekuriti pendapatan tetap, hartanah dan aset alternatif, KWSP mengurangkan risiko yang berkaitan dengan mana-mana pasaran atau sektor tunggal.

"Pendekatan ini membantu melindungi dana daripada kemelesetan global sambil memanfaatkan peluang yang muncul.

"Strategi pelaburan tempatan terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mencatatkan 5.1 peratus pada 2024. Ini membantu memastikan manfaat jangka panjang yang mampan untuk pencarum," kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata pendedahan global membolehkan KWSP memanfaatkan ekonomi yang berprestasi lebih kukuh, sekali gus mengurangkan impak kelembapan ekonomi domestik dan serantau.

Penilaian risiko yang berterusan dan pengagihan aset strategik antara pelbagai portfolio khususnya pelaburan ekuiti di pasaran Malaysia serta antarabangsa, penting untuk mengekalkan kelestarian jangka panjang di tengah-tengah ketidaktentuan seperti ketegangan geopolitik, inflasi dan turun naik pasaran kewangan, katanya.

Dividen Lebih Tinggi Meningkatkan Simpanan Persaraan

Muhammad Irwan juga berkata kadar dividen yang kukuh dan lebih tinggi sejak 2017 akan meningkatkan keyakinan terhadap KWSP sebagai wadah simpanan persaraan dan mungkin menggalakkan lebih banyak caruman sukarela daripada pekerja, bukan sahaja di sektor swasta tetapi juga di sektor awam.

Beliau berkata senario ini mungkin menyokong keselamatan kewangan jangka panjang apabila Malaysia menjadi negara yang semakin menua dan mengurangkan kebergantungan kepada jaringan keselamatan sosial kerajaan.

"Bagi pesara, dividen yang tinggi akan menyuntik lebih banyak pendapatan boleh guna ke dalam ekonomi, seterusnya meningkatkan perbelanjaan pengguna selain merangsang permintaan untuk barangan dan perkhidmatan serta memberi manfaat kepada pelbagai industri seperti peruncitan, pelancongan, makanan dan minuman," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan perbelanjaan disebabkan dividen KWSP yang tinggi mungkin menyumbang kepada tekanan inflasi, khususnya dalam sektor yang wujud kekangan bekalan.

Justeru, kerajaan khususnya Bank Negara Malaysia harus memantau kadar inflasi dengan teliti dalam beberapa bulan akan datang, katanya.

Senada dengan pandangan Muhammad Irwan, pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata pada masa ini, KWSP berdiri sebagai pilihan yang paling boleh dipercayai, khususnya di Malaysia.

Hampir 10 juta pendeposit atau pencarum meletakkan kepercayaan terhadap prestasi dana persaraan itu selain berharap membolehkan mereka bersara dengan selesa.

"KWSP sentiasa cemerlang dan meletakkan kedudukannya sebagai alternatif pelaburan terbaik. Sebagai pengurus dana, KWSP kini menguruskan lebih RM1 trilion dan walaupun saiznya semakin berkembang, KWSP masih mampu meningkatkan prestasinya.

"Sememangnya, KWSP sebelum ini mengumumkan dividen tertingginya pada 8.5 peratus (antara 1983 dan 1987). Oleh itu, kami menjangkakan pada masa hadapan, KWSP mungkin boleh mencapainya semula dan memberikan dividen 8.5 peratus, disokong oleh prestasi kukuh semasa," katanya.


-- BERNAMA