KUALA LUMPUR: Pembangun hartanah terkemuka, SkyWorld Development Berhad, memperkenalkan SkyWorld Healthy Home – prinsip reka bentuk inovatif yang menggabungkan strategi pasif, teknologi pintar dan ciri mesra alam untuk persekitaran hidup yang lebih sihat dan selesa.

Bagi memberi pengalaman secara langsung, SkyWorld menganjurkan lawatan eksklusif ke EdgeWood Residences, menyambut lebih 120 rakan media, institusi kewangan dan penilai hartanah.

Terletak dalam pelan induk SkySanctuary, pembangunan ini mengharmonikan kehidupan bandar moden dengan reka bentuk lestari, menjadikan kediaman lebih selesa, sihat dan mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, cetusan pembangunan ini untuk memberi keseimbangan antara alam semula jadi dan kehidupan bandar bagi mempromosi gaya hidup lebih sihat.

“Kami percaya, bagi sesetengah pembeli, ini mungkin satu-satunya hartanah yang mereka miliki. Kami mahu memastikan rumah yang mereka beli bukan sahaja mampu dimiliki tetapi juga selesa untuk didiami,” katanya kepada Astro AWANI selepas lawatan media, di sini, baru-baru ini.

Kredit: SkyWorld

Beliau berkata, antara aspek utama yang diberi perhatian adalah memastikan rumah kekal sejuk dan selesa tanpa bergantung sepenuhnya kepada pendingin hawa.

Bagi mencapai matlamat itu, SkyWorld melakukan analisis laluan sinaran matahari atau SunPath sebelum menentukan kedudukan bangunan di tapak pembinaan.

“Kadangkala reka bentuk bangunan kami tidak selari pada sudut 90 darjah tetapi dipusingkan sekitar 25 darjah untuk mengelakkan dinding terdedah secara langsung kepada cahaya matahari. Ini membantu mengurangkan kepanasan dalam unit rumah,” katanya.

Selain itu, projek perumahan SkyWorld turut direka dengan sistem ventilasi silang yang membolehkan aliran udara lebih baik apabila penghuni membuka tingkap atau pintu gelangsar.

Konsep SkyWorld Healthy Home dibangunkan berdasarkan empat elemen utama, iaitu cahaya, alam, udara dan air serta komuniti.

“Kami memahami kepentingan keselesaan jangka panjang. Sebab itu, setiap projek SkyWorld direka untuk mengurangkan kebergantungan kepada pendingin hawa dan pencahayaan tiruan, sekali gus menjimatkan kos penyelenggaraan untuk pemilik rumah.

“Kami mahu menyediakan kediaman yang bukan sahaja selesa, tetapi juga menyihatkan dan mesra alam. Dengan pendekatan ini, penghuni bukan sekadar tinggal di rumah tetapi hidup dalam komuniti yang lebih sihat dan berkualiti,” ujarnya.

EdgeWood Residences turut dilengkapi ciri hijau moden termasuk sistem kutipan air hujan, pencahayaan cekap tenaga serta bahan binaan yang diperakui mesra alam.

Ia juga mendapat pensijilan GreenRE (Bronze Rating) sebagai bukti komitmen terhadap kelestarian.
Kredit: SkyWorld

EdgeWood Residences turut mencatat skor tinggi 86% dalam penilaian QLASSIC, menepati standard CIS 7:2021 oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

SkyWorld yang bakal mengembangkan sayapnya ke Pulau Pinang memberi jaminan, setiap projeknya di negeri itu akan mengekalkan konsep sama iaitu rumah mampu milik dengan kualiti terbaik.

“Tiada gunanya membina bangunan yang nampak mewah tetapi membebankan pembeli dengan caj penyelenggaraan yang tinggi selepas beberapa tahun. Jadi, kami menerapkan reka bentuk pasif untuk mengurangkan keperluan penyelenggaraan,” jelasnya.