Skip to main content

Bisnes

Eksport Malaysia melonjak 29.2%, lepasi RM1 trilion dalam tujuh bulan pertama 2026

Adobe Stock
Menurut MATRADE, jumlah perdagangan negara meningkat 24.7 peratus tahun ke tahun kepada RM2.160 trilion, manakala import berkembang 19.8 peratus kepada RM994.71 bilion. - Foto Fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan luar Malaysia mencatat rekod baharu apabila eksport negara melonjak 29.2 peratus kepada RM1.165 trilion bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, sekali gus melepasi paras RM1 trilion lebih awal berbanding tahun lalu.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), jumlah perdagangan negara meningkat 24.7 peratus tahun ke tahun kepada RM2.160 trilion, manakala import berkembang 19.8 peratus kepada RM994.71 bilion.

Lebihan dagangan turut melonjak 138.7 peratus kepada RM170.50 bilion berbanding RM71.42 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pencapaian itu menjadikan tujuh bulan pertama 2026 sebagai tempoh terbaik dalam sejarah perdagangan Malaysia, dengan jumlah perdagangan melepasi RM2 trilion lebih awal berbanding Januari hingga September 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata prestasi tersebut mencerminkan daya tahan kukuh komuniti perniagaan tempatan, namun usaha memperluaskan asas eksport perlu diteruskan bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.

Beliau berkata data semasa turut menunjukkan peningkatan penumpuan dalam beberapa produk eksport dan syarikat yang menjadi pemacu utama pertumbuhan perdagangan negara.

“MATRADE kini memperhebat usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat peringkat pertengahan bagi memastikan pertumbuhan perdagangan lebih inklusif dan berasaskan kekuatan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global, MATRADE meningkatkan penglibatan dalam platform perdagangan antarabangsa seperti Farnborough International Airshow, SEMICON West dan ADIPEC, selain memperkukuh pembangunan kapasiti eksport menerusi Akademi MATRADE.

Dalam masa sama, infrastruktur perdagangan digital terus dipertingkat melalui Platform Perdagangan Digital MADANI (MDTP), eBizLink dan eTrade yang menghubungkan PMKS dengan pasaran antarabangsa.

Dari segi prestasi PMKS, eksport sektor itu meningkat 10.5 peratus kepada RM214.47 bilion pada 2025, dengan syernya dalam jumlah eksport negara naik kepada 14.7 peratus.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, produk makanan dan konfeksioneri kekal sebagai penyumbang utama eksport PMKS dengan pertumbuhan 6.3 peratus. Turut mencatat peningkatan ialah barangan automotif sebanyak 13.8 peratus, produk farmaseutikal 29.7 peratus, perabot berasaskan logam 27.8 peratus serta produk minyak sawit dan oleokimia 13.4 peratus.

Dari sudut pasaran, eksport Malaysia terus disokong permintaan kukuh daripada Amerika Syarikat yang meningkat 58.3 peratus kepada RM206.59 bilion, diikuti ASEAN (+20.3 peratus), Taiwan (+71.4 peratus), Hong Kong SAR (+49.8 peratus), China (+24.3 peratus) dan Kesatuan Eropah (+29.8 peratus).

Eksport ke pasaran bukan tradisional di Afrika, Asia Tengah, Asia Selatan dan Amerika Latin pula berkembang 18.2 peratus kepada RM100.94 bilion. Antara negara yang mencatat pertumbuhan luar biasa ialah Angola (+231.2 peratus), Zimbabwe (+242.7 peratus), Sudan (+203.5 peratus) dan Republik Demokratik Congo (+117.1 peratus).

Pada masa sama, eksport ke negara rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) meningkat 22.4 peratus kepada RM737.97 bilion, mewakili 63.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia. Eksport ke pasaran RCEP pula berkembang 19.7 peratus kepada RM564.02 bilion, manakala eksport ke negara CPTPP meningkat 18.1 peratus kepada RM330.42 bilion.

Must Watch Video

Advertisement