Skip to main content

Bisnes

Inflasi rendah tidak bermakna kos sara hidup menurun, IHP tidak gambar keseluruhan keadaan

Kadar inflasi yang rendah mungkin menunjukkan bahawa kenaikan harga adalah terkawal, namun peningkatan taraf hidup yang bermakna hanya akan dapat dirasai apabila pendapatan isi rumah meningkat secukupnya untuk memulihkan dan memperkukuh kuasa beli.
Kadar inflasi yang rendah mungkin menunjukkan bahawa kenaikan harga adalah terkawal, namun peningkatan taraf hidup yang bermakna hanya akan dapat dirasai apabila pendapatan isi rumah meningkat secukupnya untuk memulihkan dan memperkukuh kuasa beli.

Ringkasan AI

  • Walaupun inflasi Malaysia sederhana, ramai isi rumah masih terkesan akibat pertumbuhan pendapatan yang tidak seiring dengan kenaikan harga barangan keperluan.
  • Bank Negara Malaysia menegaskan bahawa pemeliharaan kuasa beli memerlukan pertumbuhan pendapatan yang melebihi kenaikan harga serta pembaharuan struktur ekonomi.
  • Langkah kerajaan seperti kenaikan gaji minimum dan bantuan tunai STR dan SARA bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Walaupun inflasi Malaysia berada pada tahap sederhana, trend penurunannya tidak semestinya membawa kepada kos sara hidup yang lebih rendah kepada isi rumah, menunjukkan perbezaan antara perubahan harga barangan pengguna dengan kemampuan sebenar isi rumah untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

Indeks Harga Pengguna (IHP), ukuran utama inflasi negara, mengukur perubahan purata harga sekumpulan barangan dan perkhidmatan. Bagaimanapun, indeks itu tidak semestinya mencerminkan perbezaan corak perbelanjaan, tahap pendapatan dan komitmen kewangan setiap isi rumah.

Ini menjelaskan mengapa rakyat Malaysia mungkin masih berdepan tekanan kewangan walaupun angka inflasi rasmi menunjukkan bahawa kenaikan harga semakin perlahan.

Advertisement

Dalam artikel bertajuk, ‘Di Sebalik Angka Rasmi: Inflasi dari Perspektif Isi Rumah’, yang diterbitkan dalam Laporan Tahunan 2025 pada awal tahun ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan bahawa inflasi mengukur pertumbuhan harga dan bukannya tahap harga.

Inflasi keseluruhan Malaysia mencatatkan purata sebanyak 1.4 peratus pada 2025, paras terendah dalam tempoh lima tahun, namun bank pusat menyedari bahawa kos sara hidup yang tinggi masih menjadi kebimbangan utama bagi sebahagian besar isi rumah.

Advertisement

Inflasi mencatatkan purata 1.8 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2026, dengan inflasi teras berada pada paras 2 peratus.

Menurut BNM, perbezaan itu sebahagiannya adalah daripada pengalaman isi rumah terhadap perubahan harga, terutamanya melalui barangan yang kerap dibeli seperti makanan dan minuman, yang cenderung mempunyai pengaruh tinggi dalam persepsi mereka terhadap inflasi.

Dua faktor yang mempengaruhi persepsi isi rumah, iaitu bias kekerapan, seperti makanan ruji dan minuman, yang lazim dibeli dan memberikan kesan yang lebih besar terhadap tanggapan mereka mengenai inflasi.

Bagi mencerminkan realiti ini dengan lebih baik, pakar ekonomi menggunakan penunjuk seperti Indeks Harga Harian (EPI), yang memperuntukkan wajaran lebih besar kepada barangan yang sering dibeli dalam IHP.

Dengan menekankan pembelian seperti ini, EPI merekodkan perubahan harga yang lebih mencerminkan pengalaman harian isi rumah.

Kedua, tanggapan isi rumah juga dibentuk oleh cara perubahan harga yang diingati.

“Kenaikan harga cenderung meninggalkan kesan yang lebih mendalam dan berkekalan berbanding penurunan harga, meskipun apabila kedua-duanya berlaku.

“Corak tingkah laku ini, yang dikenali sebagai bias ingatan, direkodkan melalui Indeks Harga Tanggapan (PePI). 

PePI adalah sama seperti EPI tetapi hanya merangkumi barangan yang telah mencatatkan kenaikan harga dan pada masa yang sama mengecualikan barangan yang telah mengalami penurunan harga. 

Oleh itu, PePI lazimnya menunjukkan kadar inflasi yang lebih tinggi berbanding IHP dan EPI, lantas mencerminkan tanggapan bahawa kenaikan harga meninggalkan kesan yang lebih ketara kepada isi rumah. 

 

Kuasa Beli Jadi Isu Utama

Menurut bank pusat, selain ukuran inflasi, isu lebih asas ialah sama ada pendapatan isi rumah meningkat secukupnya untuk mengimbangi kenaikan harga secara terkumpul.

Analisis BNM menunjukkan bahawa dari 2019 hingga 2024, IHP keseluruhan meningkat sebanyak 9.3 peratus manakala upah nominal bagi setiap pekerja hanya naik sebanyak 7.2 peratus.

“Dengan kata lain, pekerja perlu bekerja lebih lama untuk mampu membeli jumlah barangan yang sama.

“Perkara ini jelas dapat dilihat dari segi makanan: apabila harga makanan meningkat lebih pantas berbanding pendapatan pada tahun-tahun kebelakangan ini. Isi rumah kini perlu bekerja lebih lama hanya untuk menampung perbelanjaan makanan harian lazim mereka.

Sebagai bank pusat, antara matlamat utamanya adalah memastikan kadar inflasi yang rendah dan stabil.

“Ini penting kerana harga yang stabil dan dapat dijangka membolehkan isi rumah dan perniagaan merancang perbelanjaan, simpanan dan pelaburan mereka dengan lebih baik. Ini seterusnya akan membantu menyokong aktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, pemeliharaan kuasa beli isi rumah bukan sahaja bergantung pada harga tetapi juga pendapatan. Yang penting, apabila kenaikan harga berlaku secara perlahan dan boleh dijangka, isi rumah dapat mengekalkan kuasa beli mereka selagi pendapatan meningkat seiring dengan harga,” menurutnya.

Dalam keadaan demikian, inflasi yang stabil memberi masa untuk penyelarasan pendapatan, sekali gus membantu isi rumah menghadapi harga yang lebih tinggi serta merancang perbelanjaan dengan lebih yakin.

Langkah-langkah pendapatan terkini seperti semakan terhadap gaji minimum telah membantu meringankan beban lebih lima juta pekerja di Malaysia.

Namun, katanya untuk jangka masa lebih panjang, pembaharuan struktur yang lebih mendalam perlu dilaksanakan untuk menangani punca kelembapan pertumbuhan pendapatan di Malaysia.

“Pertama, lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi perlu diwujudkan. 

“Pada 2025, pekerjaan berkemahiran tinggi cuma merangkumi 26 peratus daripada jawatan baharu yang diwujudkan, lebih rendah berbanding purata 30 peratus dalam tempoh lima tahun (2020–2024),” menurutnya.

Ini mencerminkan keperluan untuk memacu peralihan Malaysia ke arah industri bernilai tambah tinggi, memperkukuh penggunaan teknologi serta meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik.

Sehubungan itu, inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) bertujuan menarik pelaburan berkualiti lebih tinggi, menggalakkan pengeluaran intensif teknologi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

Selain Kawalan Inflasi 

Walaupun mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan stabil adalah penting, langkah menangani cabaran kos sara hidup memerlukan pendekatan dasar yang lebih menyeluruh meliputi aspek perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan pendapatan.

“Dasar monetari sahaja tidak mampu memelihara kuasa beli kerana kesejahteraan isi rumah juga dipengaruhi oleh pertumbuhan pendapatan, produktiviti dan trend kos sara hidup yang lebih luas.

“Walaupun inflasi berada pada tahap sederhana, banyak isi rumah terus bergelut dengan kos sara hidup yang lebih tinggi dalam keadaan pertumbuhan pendapatan yang perlahan,” menurut bank pusat.

Bagi memastikan taraf hidup yang lebih baik dan mengukuhkan kuasa beli, pertumbuhan pendapatan hendaklah melebihi kenaikan harga.

Apabila perbelanjaan meningkat lebih pantas daripada pendapatan, kenaikan harga yang kecil pun mungkin dirasakan besar oleh isi rumah, sekali gus membentuk tanggapan tentang kos sara hidup serta pandangan terhadap keadaan ekonomi secara keseluruhan.

“Akhirnya, pengukuhan kuasa beli isi rumah memerlukan strategi dasar yang menyeluruh dan terselaras,” menurutnya. 

Langkah kerajaan menaikkan gaji, termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 dalam Belanjawan 2027 berbanding RM1,700 sebelum ini, memberikan sedikit kelegaan kepada pekerja walaupun peningkatan taraf hidup yang berterusan bergantung pada pertumbuhan gaji dan produktiviti yang lebih menyeluruh.

Kadar minimum baharu itu akan berkuat kuasa mulai Jun 2027 dan akan memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Menurut BNM, ini memerlukan dasar monetari yang dilengkapi dengan sokongan fiskal bersasar untuk kumpulan yang mudah terjejas serta pelaksanaan pembaharuan struktur yang meningkatkan pendapatan dan produktiviti.  

Dalam Belanjawan 2027, bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah diperluas kepada hampir 13 juta rakyat Malaysia, termasuk kumpulan M40.

Setakat 22 Oktober, sebanyak RM3.6 bilion telah disalurkan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) melalui tiga fasa pembayaran. Secara keseluruhan, hampir RM12 bilion bantuan STR dan SARA telah disalurkan kepada penerima yang layak.

Peruntukan STR dan SARA akan ditingkatkan kepada RM16 bilion pada 2027, dengan bantuan bulanan SARA dinaikkan kepada RM150 atau RM1,800 setahun.

“Dengan menangani kedua-dua aspek harga dan pendapatan, pembuat dasar dapat memelihara kuasa beli serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk tempoh jangka panjang,” menurut BNM.

Oleh itu, kadar inflasi yang rendah mungkin menunjukkan bahawa kenaikan harga adalah terkawal, namun peningkatan taraf hidup yang bermakna hanya akan dapat dirasai apabila pendapatan isi rumah meningkat secukupnya untuk memulihkan dan memperkukuh kuasa beli.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement