KUALA LUMPUR: RichTech Digital Bhd (RichTech) yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE dengan menawarkan 10.12 juta saham kepada orang awam Malaysia pada harga 25 sen sesaham sebagai tawaran awam permulaan (IPO), berjaya memperoleh terlebih langgan sebanyak 245.42 kali.

Penyedia perkhidmatan pembayaran bil dan isian semula elektronik itu berkata sebanyak 24,237 permohonan bagi 2.49 bilion saham terbitan bernilai RM623.63 juta diterima daripada orang awam.

"Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 12,601 permohonan untuk 1.06 bilion saham terbitan diterima, mewakili kadar terlebih langganan 208.57 kali.

"Bagi bahagian awam, sebanyak 11,636 permohonan untuk 1.43 bilion saham terbitan diterima, yang mewakili kadar terlebih langgan 282.28 kali," katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Rich Tech berkata 1.55 juta saham terbitan yang ditawarkan bagi permohonan pengarah dan kakitangan yang layak juga sudah dilanggan sepenuhnya.

Katanya, terbitan awam sebanyak 42.99 juta saham baharu dan tawaran jualan 25.31 juta saham sedia ada menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih turut dilanggan sepenuhnya.

Syarikat itu berkata notis peruntukan akan diserahkan kepada semua pemohon yang berjaya pada 13 Feb, 2025.

Penyenaraian dijadualkan pada 17 Feb, 2025.

KAF Investment Bank Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan.

-- BERNAMA