KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata Group Bhd, Nik Rizal Kamil telah dilantik menganggotai lembaga pengarah GSM Association (GSMA) bagi tempoh dua tahun bermula Januari, 2027.
GSMA adalah organisasi global mewakili pengendali mudah alih dan syarikat-syarikat dalam ekosistem digital serta menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar dan rakan kongsi teknologi bagi memajukan aspek keterangkuman digital, akses spektrum, peraturan moden, privasi, kelestarian dan inovasi.
Axiata dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pelantikan Nik Rizal mengukuhkan kedudukan kepimpinan kumpulan yang telah lama terjalin dalam industri mudah alih global, serta meneruskan legasi sumbangannya terhadap kepimpinan dan agenda GSMA.
"Saya berbesar hati untuk berkhidmat dalam Lembaga Pengarah GSMA pada saat yang penting bagi industri kita, di mana ketersambungan mudah alih telah berkembang daripada sekadar perkhidmatan komunikasi kepada pemacu utama pertumbuhan ekonomi, keterangkuman digital dan inovasi," kata Nik Rizal.
-- BERNAMA