KUALA LUMPUR: Inisiatif MADANI Digital Trade (MDT) mampu menjadi pencetus perubahan yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meraih manfaat daripada teknologi seperti analisis dan data raya, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata MDT juga berupaya memenuhi dua misi Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030 dengan menangani cabaran PKS.

Misi utama di bawah NIMP 2030 ialah teknologi industri yang pesat selain memastikan keterjaminan ekonomi dan keterangkuman.

Pada masa sama, katanya, inisiatif ini turut menyokong komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan meletakkan negara sebagai peneraju serantau dalam perdagangan digital.

"MDT juga membolehkan PKS kita meluaskan jangkauan pasaran, meningkatkan kecekapan perdagangan selain mempercepat penggunaan digital. Ini memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi digital global," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran rasmi MDT di sini, hari ini.Inisiatif MDT dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama Nazsoft Tech Sdn Bhd, pemaju perisian dan perunding transformasi digital.

Tengku Zafrul berkata platform MDT juga membantu memudahkan promosi eksport dan meningkatkan kebolehlihatan jenama Malaysia di pasaran serantau dan antarabangsa yang berasaskan keupayaan untuk penyepaduan pihak berkepentingan ekosistem rentas sempadan.

"Syarikat-syarikat Malaysia boleh mempergiat usaha eksport di pasaran antarabangsa dengan memanfaatkan platform digital terkini bagi gerai pameran maya, mesyuarat perniagaan dan padanan perniagaan yang dipermudah bagi pembeli dan penjual," katanya.

Perniagaan juga, katanya, akan mempunyai akses terhadap program latihan dan khidmat nasihat yang lebih komprehensif, kemudahan webinar dan sistem permohonan geran untuk melengkapkan diri dengan keperluan bagi mengemudi platform dengan berkesan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menekankan kepentingan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025 yang menyaksikan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerajui tonggak ekonomi ASEAN.

Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen MITI untuk memastikan Malaysia mencapai sebanyak mungkin kemajuan dari segi Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) bagi 2025.

PED itu termasuk memajukan atau memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) serta perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan China (ACFTA) dan India (AITIGA).

"Namun, PED paling relevan dengan agenda kita hari ini adalah rundingan DEFA ASEAN - inisiatif penting bertujuan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi dalam ASEAN," katanya.

Beliau berkata rundingan DEFA dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini dan disusuli dengan pembangunan pelan pelaksanaan yang komprehensif selepas 2025.

DEFA antara lainnya merangkumi pelbagai elemen utama seperti perdagangan digital, e-dagang rentas sempadan, keselamatan siber, ID digital, pembayaran digital, aliran data rentas sempadan dan topik terkini.

"Dari sudut pandang MITI, PKS yang menerima digital sepenuhnya dapat memanfaatkan permintaan pengguna di seluruh ASEAN dengan mudah dengan potensinya amat luas susulan wujudnya seramai 680 juta penduduk ASEAN.

"Ini juga berikutan perdagangan intra-ASEAN pada masa ini hanya dalam lingkungan 23-24 peratus," katanya.

Tengku Zafrul berkata rakyat Malaysia dan PKS ASEAN yang mempunyai keupayaan digital juga berupaya menyediakan perkhidmatan bagi pasaran sejauh Amerika Selatan, malah Afrika.

"Jika lebih banyak PKS Malaysia dapat menyertai rantaian nilai global menerusi MDT, mereka dapat mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang dapat memberi sokongan secara langsung bagi kemajuan negara ini," katanya.

Bagi syarikat dan PKS tempatan, Tengku Zafrul berkata MDT menawarkan kelebihan ketara seperti platform sehenti bagi penyelesaian digital untuk membantu meluaskan jangkauan pasaran masing-masing, menyelaras proses eksport, akses sokongan kewangan dan memanfaatkan risikan perniagaan dalam masa nyata.

-- BERNAMA