Skip to main content

Bisnes

MAG peroleh penarafan kredit tertinggi, perkukuh pelan pertumbuhan jangka panjang

Menurut Kapten Nasaruddin, program sukuk yang dicadangkan diberikan penarafan MARC-1IS dan AAAIS, iaitu penarafan tertinggi dalam skala penarafan agensi tersebut dan merupakan penarafan kredit pertama diterima kumpulan itu daripada MARC Ratings. - Gambar MAG
Menurut Kapten Nasaruddin, program sukuk yang dicadangkan diberikan penarafan MARC-1IS dan AAAIS, iaitu penarafan tertinggi dalam skala penarafan agensi tersebut dan merupakan penarafan kredit pertama diterima kumpulan itu daripada MARC Ratings. - Gambar MAG
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) menerima penarafan kredit sulung pada tahap tertinggi daripada MARC Ratings bagi cadangan Program Kertas Komersial Islam (ICP) dan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN), mencerminkan prestasi operasi yang stabil, disiplin kewangan serta pelaksanaan strategik yang berterusan di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, penarafan berkenaan mengukuhkan keyakinan terhadap hala tuju strategik syarikat ketika kumpulan itu merancang pertumbuhan melangkaui tahun 2030.

"Trajektori kami di bawah LTBP3.0 dipandu oleh perancangan kewangan yang kukuh, disiplin operasi serta keutamaan komersial yang jelas. Penegasan penarafan oleh MARC Ratings mengukuhkan hala tuju strategik kami ketika merancang pertumbuhan selepas 2030," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Advertisement

Menurut MAG, program sukuk yang dicadangkan diberikan penarafan MARC-1IS dan AAAIS, iaitu penarafan tertinggi dalam skala penarafan agensi tersebut dan merupakan penarafan kredit pertama diterima kumpulan itu daripada MARC Ratings.

Syarikat itu berkata, penilaian berkenaan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat induk kepada Malaysia Airlines Berhad dan penyedia perkhidmatan penerbangan bersepadu utama negara, selain mencerminkan keyakinan terhadap prospek jangka panjang kumpulan berkenaan yang disokong oleh pemegang saham majoritinya, Khazanah Nasional Bhd.

Advertisement

MAG kini melaksanakan beberapa projek strategik bagi meningkatkan kapasiti dan mempercepatkan pengembangan komersial, termasuk pelaburan dalam pemodenan armada, peluasan rangkaian penerbangan serta pembangunan kemudahan katering dalam penerbangan baharu.

Bagi menyokong inisiatif tersebut, kumpulan itu turut menilai pelbagai pilihan pembiayaan termasuk cadangan program sukuk yang sejajar dengan pelan hala tuju kewangan jangka panjangnya.

MAG turut memberi tumpuan kepada pengukuhan perkhidmatan dalam penerbangan dan peluasan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih pesawat (MRO), yang menurut syarikat itu akan menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab aeroangkasa serantau serta memperkukuh ekosistem penerbangan negara.

Syarikat itu berkata, ia akan terus mengekalkan tadbir urus fiskal yang ketat dan membuat pendedahan pasaran yang sewajarnya sepanjang pelaksanaan pelan pertumbuhannya.

 

Must Watch Video

Advertisement