Ringkasan AI
- Malaysia berpeluang memperkukuh solidariti terhadap Palestin melalui kerjasama pertanian mampan dalam pemulihan ladang, kerjasama institusi, dan peluasan akses pasaran.
- Menteri Pertanian Palestin mencadangkan pemulihan infrastruktur pertanian, kerjasama akademik, serta program latihan untuk meningkatkan kecekapan dan menyokong petani Palestin.
- Beliau menggesa peluasan akses produk Palestin seperti minyak zaitun dan kurma ke pasaran Malaysia dengan perjanjian pembelian jangka panjang demi kelangsungan petani.
KUALA LUMPUR: Malaysia berpeluang memperkukuh solidaritinya terhadap Palestin menerusi kerjasama pertanian yang mampan dalam tiga bidang utama bagi membantu memulihkan sektor pertanian negara itu serta menjamin kelangsungan mata pencarian petani.
Menteri Pertanian Palestin Prof Dr Rezq Salimia berkata tiga bidang itu merangkumi pemulihan ladang dan infrastruktur pertanian yang rosak, pengukuhan kerjasama antara institusi akademik dan pertanian kedua-dua negara serta peluasan akses pasaran bagi produk Palestin di Malaysia.
"Malaysia boleh menterjemahkan keprihatinan dan solidaritinya kepada kerjasama mampan dengan petani Palestin. Saya mengalu-alukan kerjasama dalam tiga bidang praktikal," kata beliau dalam wawancara baru-baru ini menerusi program The Nation Diplomatic Dispatch terbitan Bernama TV bertajuk "Palestine Beyond the Headlines: The Battle for Land and Livelihoods".
Mengulas mengenai bidang pertama, Salimia berkata usaha memulihkan sistem bekalan air dan rumah hijau, menyediakan input pertanian mampan serta membantu petani menggantikan peralatan yang rosak mampu menyokong pemulihan sektor pertanian, termasuk di beberapa kawasan di Gaza yang boleh diakses dengan selamat.
Bagi bidang kedua, beliau mencadangkan kerjasama antara universiti, institusi pertanian dan koperasi kedua-dua negara menerusi penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran teknikal serta program latihan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air, membangunkan industri pemprosesan makanan dan menyokong projek pertanian yang diterajui wanita serta golongan muda.
Dalam bidang ketiga pula, Salimia menggesa supaya akses produk Palestin, khususnya minyak zaitun dan kurma ke pasaran Malaysia diperluas dengan menekankan kepentingan mendapatkan pembeli yang tetap, harga yang adil serta perjanjian pembelian jangka panjang bagi membantu petani merancang dan membuat pelaburan.
"Kami menghasilkan lebih 28,000 tan kurma dan memerlukan pasaran seperti Malaysia membuka peluang kepada komuniti pengeluar kami," kata beliau sambil menambah bahawa kerjasama itu perlu melibatkan institusi Palestin dan pengeluar tempatan dengan sasaran yang jelas serta ketelusan.
Sambil menzahirkan penghargaan atas solidariti berterusan Malaysia terhadap Palestin, Salimia berkata kerjasama mampan akan membolehkan lebih banyak keluarga Palestin mencari rezeki daripada tanah mereka.
"Ini akan memberikan kekuatan yang nyata dan praktikal kepada solidariti yang dihargai oleh rakyat kami," kata beliau.
-- BERNAMA