KUALA LUMPUR: Perbahasan mengenai sistem percukaian Malaysia seharusnya tertumpu pada usaha meningkatkan kutipan hasil dan bukannya memilih antara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata seorang pakar percukaian.
Penasihat Kanan Dasar Cukai KPMG Malaysia Dr Veerinderjeet Singh berkata Malaysia sudah mempunyai sistem percukaian yang relevan, manakala cabaran utama adalah memastikan cukai sedia ada berfungsi dengan berkesan dan menjana hasil seperti yang disasarkan.
“Saya bukan penyokong pengenalan jenis cukai baharu kerana kita sudah mempunyai semua jenis cukai yang relevan.
“Cabaran kita adalah memastikan cukai sedia ada, sama ada cukai pendapatan, SST atau pelbagai duti, berfungsi dengan berkesan dan menjana hasil yang disasarkan, selain meningkatkan kutipan daripada cukai yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbincangan panel bertajuk “Debat Pasca-Belanjawan 2027” anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di sini hari ini.
Veerinderjeet berkata usaha menerapkan elemen GST ke dalam kerangka SST sedia ada hampir mustahil dilaksanakan, khususnya kerana tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan mekanisme cukai input-output dilaksanakan.
Beliau berkata kerajaan boleh meneroka langkah untuk menambah baik SST dengan menerapkan ciri tertentu GST, namun kedua-dua sistem itu mempunyai perbezaan ketara, termasuk dari segi invois cukai, mekanisme cukai input-output dan bayaran balik cukai.
“Kita sudah mempunyai elemen penginvoisan cukai menerusi sistem e-invois yang boleh menggantikan invois cukai yang digunakan di bawah sistem GST.
“Persoalan seterusnya ialah sama ada kita mempunyai mekanisme input-output. Ini bahagian yang paling sukar kerana tiada peruntukan undang-undang di bawah perundangan SST yang membolehkannya dilaksanakan.
“Elemen ketiga ialah bayaran balik. Kita mempunyai mekanisme bayaran balik tertentu di bawah sistem cukai jualan, yang membolehkan perniagaan yang layak memohon bayaran balik atau tuntutan semula duti sekiranya memenuhi tujuan atau syarat tertentu,” katanya.
Veerinderjeet berkata Malaysia perlu memperkukuh kecekapan agensi pemungut cukai, khususnya Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, bagi memaksimumkan kutipan daripada cukai sedia ada.
Beliau berkata LHDN mempunyai akses kepada pelbagai kemudahan, termasuk analisis data, teknologi dan kepakaran saintis data, untuk meningkatkan kutipan cukai. Bagaimanapun, persoalan masih timbul mengenai sejauh mana sumber berkenaan dimanfaatkan secara berkesan dan cekap.
-- BERNAMA