Menurut sumber yang mengetahui perkara itu pada Rabu, kedua-dua syarikat automotif itu mengumumkan pada Disember bahawa mereka bersetuju untuk meneroka kemungkinan penggabungan di bawah sebuah syarikat induk menjelang 2026 sambil mengekalkan jenama masing-masing.
Langkah itu bertujuan mengurangkan kos dan berkongsi beban kewangan yang semakin meningkat dalam pembangunan kenderaan elektrik serta perisian bagi menyaingi pesaing global seperti Tesla Inc. dan BYD Co. dari China.
Bagaimanapun, sumber berkata Honda yang mempunyai jumlah jualan dan modal pasaran lebih besar, baru-baru ini mencadangkan supaya Nissan menjadi anak syarikatnya - satu cadangan yang mendapat tentangan kuat dalam Nissan.
Perbincangan penggabungan itu timbul ketika Nissan sedang melalui proses penstrukturan semula, dengan Honda dilaporkan berusaha mendapatkan kawalan kerana bimbang isu berpanjangan yang dihadapi Nissan boleh menjejaskan masa depannya, menurut sumber.
Namun, Nissan bimbang bahawa menjadi anak syarikat Honda akan menjejaskan autonominya secara signifikan.
Pada sidang media Disember lepas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nissan Makoto Uchida menegaskan bahawa tiada syarikat akan mendominasi penggabungan itu, dengan menekankan bahawa kedua-duanya akan berada pada kedudukan setara.
Kedua-dua syarikat automotif itu dijangka mengumumkan keputusan kewangan bagi tempoh April-Disember minggu depan.
-- BERNAMA