Ringkasan AI
- Selangor merekodkan RM70 bilion pelaburan diluluskan bagi separuh pertama 2026, hampir mencapai sasaran tahunan RM80 bilion.
- Invest Selangor yakin jumlah pelaburan boleh melepasi RM100 bilion menjelang akhir tahun melalui pelbagai inisiatif dan promosi pelaburan.
- Selangor International Business Summit 2026 dan Selangor Soft Landing Programme antara platform utama menarik pelabur tempatan serta antarabangsa ke negeri itu.
KUALA LUMPUR: Selangor merekodkan kira-kira RM70 bilion pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama 2026, sekali gus menghampiri sasaran keseluruhan RM80 bilion yang ditetapkan bagi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, berdasarkan momentum semasa, jumlah pelaburan yang diluluskan di Selangor berpotensi bukan sahaja melepasi sasaran berkenaan, malah melangkaui RM100 bilion menjelang akhir tahun.
“Sebenarnya pada tahun ini, sasaran pelaburan kita tahun ini ialah RM80 bilion. Dan pelaburan yang telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk separuh tahun pertama tahun ini ialah RM70 bilion.
“Jadi kita yakin kita dapat melepasi sasaran dan tidak mustahil untuk kita melangkaui RM100 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun ini. Kita sedang berusaha untuk enam bulan terakhir ini,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Menurut Hasan Azhari, usaha mengekalkan momentum pelaburan itu dilaksanakan menerusi pelbagai pendekatan termasuk misi promosi dan penggalakan pelaburan ke luar negara, selain pengenalan beberapa inisiatif baharu untuk memudahkan kemasukan serta operasi pelabur di Selangor.
Menurutnya, antara platform yang memainkan peranan dalam usaha itu ialah Selangor International Business Summit (SIBS) 2026, yang menghimpunkan pelabur tempatan dan antarabangsa, pemain industri, syarikat teknologi, penyedia perkhidmatan serta pencari kerja dalam satu ekosistem perniagaan dan pelaburan.
Memasuki edisi ke-10, SIBS 2026 akan berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan tujuh komponen merangkumi antaranya peluang pelaburan, pembangunan kawasan perindustrian, teknologi kecerdasan buatan dan semikonduktor, ekonomi penjagaan, pembangunan bakat serta jaringan perniagaan serantau.
Hasan Azhari berkata, SIBS bukan sekadar ruang pameran tetapi menjadi platform untuk membina jaringan antara syarikat, pelabur dan pemain industri, selain membuka ruang kepada kerjasama serta peluang perniagaan baharu.
Pada masa sama, Invest Selangor turut melaksanakan inisiatif seperti Selangor Soft Landing Programme bagi membantu pelabur baharu memulakan operasi di negeri itu, termasuk menyediakan kemudahan ruang kerja pada peringkat sebelum dan selepas pelaburan.
Ujar Hasan Azhari, program berkenaan yang bermula pada penghujung 2024 setakat ini disertai sekitar 18 syarikat, kebanyakannya syarikat asing termasuk dari China, Belanda, Jerman dan United Kingdom.
Katanya lagi, pelbagai inisiatif itu penting bagi memastikan Selangor bukan sahaja terus menjadi destinasi pilihan pelabur, tetapi mempunyai ekosistem yang mampu menyokong keperluan industri dalam jangka panjang.
“Bagaimana untuk mengekalkan momentum ini? SIBS adalah salah satu usaha kita. Namun begitu, usaha-usaha yang sedia ada seperti misi promosi penggalakan pelaburan ke luar negara tetap diteruskan. Pelbagai inisiatif baharu kita laksanakan,” katanya.
Agenda AWANI: SIBS2026 | Gerbang Pelaburan Dan Inovasi ASEAN