Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata pihaknya sebelum ini menyasarkan sebanyak 3,000 unit pengeluaran dalam tempoh enam bulan, namun ia telah melepasi sasaran itu dalam masa kurang sebulan.
"Permintaan semakin meningkat dan ini menunjukkan penerimaan rakyat terhadap kereta EV.
"Saya yakin dalam masa tiga atau empat tahun akan datang orang akan berebut untuk menggunakan kenderaan EV dan semakin meninggalkan penggunaan kenderaan petrol atau diesel," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bilik Pameran Kereta Elektrik jenama PROTON di JM Otomobil (EV) Wakaf Siku, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Roslan berkata sasaran terhadap pengguna kenderaan EV ini adalah kepada mereka yang meminati teknologi terbaharu.
"Harga dia (EV) tidak jauh beza dengan Proton X50 dan X70, apa yang penting hala tuju negara lestarikan 'Mobility Zero Carbon', selain kita ketengahkan ciri-ciri keselamatan serta keselesaan kepada pengguna dan tidak memberi tumpuan kepada 'auto pilot' kerana teknologi ini memerlukan disiplin ketika memandu termasuk permukaan jalan raya yang baik," katanya.
Proton e.MAS 7 dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Dis tahun lepas, ia merupakan kereta EV pertama negara dalam mengorak langkah ke arah kemampanan dan inovasi teknologi hijau.
Ditawarkan pada harga bermula RM109,800, Proton e.MAS 7 tampil dengan dua pilihan iaitu varian Prime (bermula RM109,800) dan versi tertinggi Premium (RM123,800).
Kepelbagaian ciri-ciri yang ditawarkan seperti prestasi hebat daripada motor 12-dalam-1, sistem audio dengan 16 pembesar suara, ruang dalaman yang luas serta 33 ruang penyimpanan, menjadikannya sebagai pilihan terbaik dalam segment SUV ini.
-- BERNAMA