KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, ketika pelabur menantikan keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang akan diumumkan hari ini.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0385/4.0455 berbanding dolar AS 4.0435/4.0475 ketika ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan hari ini adalah kepada keputusan OPR oleh MPC, dengan bank pusat itu berkemungkinan besar mengekalkan kadar dasar pada 2.75 peratus.
Sementara itu, beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.12 peratus kepada 99.555 mata menjelang penerbitan data gaji bukan ladang (NFP) AS pada Jumaat.
Beliau berkata pasaran beberapa hari kebelakangan ini memberi tumpuan kepada ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Kevin Warsh pada Simposium Jackson Hole Jumaat lepas berkaitan inflasi, yang sekali gus memberi petunjuk bahawa kenaikan kadar faedah mungkin dipertimbangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Fed pada pertengahan September.
“Ini menyebabkan nilai ringgit mengalami pelarasan berbanding dolar AS,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit mengukuh sedikit hari ini, walaupun pergerakannya dijangka kekal dalam julat dagangan yang kecil.
Berbanding sekumpulan mata wang utama, ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4443/5.4537 daripada 5.4527/5.4581 pada Rabu dan meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.6782/4.6863 daripada 4.6787/4.6834.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 2.5411/2.5456 daripada 2.5294/2.5321.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 227.3/227.8 daripada 227.6/227.9 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.45/6.47 daripada 6.46/6.47 ketika ditutup pada Rabu.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1764/3.1822 daripada 3.1739/3.1773 dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.1660/12.1926 daripada 12.1321/12.1488 ketika ditutup pada Rabu.
-- BERNAMA