Skip to main content

Bisnes

RM5 bilion disalur semula, jamin bekalan air bersih untuk rakyat Perak, Pulau Pinang

Kerajaan berjaya menyalurkan semula dana pinjaman SSER bernilai RM5 bilion daripada Export-Import Bank of China (CEXIM) bagi membiayai projek Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS). Langkah ini sekali gus mengurangkan kerugian akibat pembatalan projek saluran paip gas sejak 2018.
Kerajaan berjaya menyalurkan semula dana pinjaman SSER bernilai RM5 bilion daripada Export-Import Bank of China (CEXIM) bagi membiayai projek Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS). Langkah ini sekali gus mengurangkan kerugian akibat pembatalan projek saluran paip gas sejak 2018.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan berjaya menyalurkan semula pinjaman RM5 bilion daripada Export-Import Bank of China untuk membiayai projek Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS).
  • Langkah ini mengurangkan kerugian negara akibat penamatan projek TSGP dan MPP serta memastikan dana digunakan untuk infrastruktur asas di Perak dan Pulau Pinang.
  • Projek NPWSS akan meningkatkan kapasiti bekalan air dan dilaksanakan sepenuhnya oleh kontraktor tempatan bagi menyokong ekonomi domestik.
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan berjaya menyalurkan semula pinjaman bernilai RM5 bilion daripada Export-Import Bank of China (CEXIM) bagi membiayai projek Skim Bekalan Air Perak Utara atau Northern Perak Water Supply Scheme (NPWSS).

Penyaluran semula itu dimuktamadkan menerusi pemeteraian perjanjian antara Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER), sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, dengan CEXIM yang disaksikan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Jumaat.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif berkenaan merupakan kejayaan penting dalam mengurangkan kerugian negara susulan penamatan projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) pada 2018.

Advertisement

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Malaysia terpaksa menanggung obligasi bayaran balik pinjaman berjumlah RM8 bilion kepada CEXIM meskipun kedua-dua projek paip gas itu tidak dilaksanakan, dan perkara berkenaan gagal diselesaikan oleh tiga pentadbiran terdahulu.

"Pemeteraian perjanjian ini merupakan satu pencapaian penting bagi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memuktamadkan rundingan dan mendapatkan kembali sebahagian pinjaman tersebut melalui penyaluran semula RM5 bilion bagi melaksanakan NPWSS.

Advertisement

"Langkah ini sekali gus mengurangkan kerugian yang timbul daripada projek TSGP dan MPP serta memastikan RM5 bilion tersebut dapat digunakan untuk membangunkan infrastruktur asas yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di negeri Perak dan Pulau Pinang," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Projek NPWSS merupakan pembangunan infrastruktur bekalan air bersepadu yang merangkumi penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, kerja-kerja menaik taraf di sepanjang Sungai Kurau dan Terusan Besar, serta pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu di Kamunting dan Bogak.

Menurut MOF, projek itu menyasarkan kapasiti agihan sebanyak 700 juta liter sehari bagi utara Perak termasuk kawasan perindustrian Kerian, 300 juta liter sehari untuk Pulau Pinang, serta 500 juta liter sehari air mentah bagi keperluan pengairan pertanian.

Selain itu kementerian berkata, semua kerja pembinaan bagi projek berimpak tinggi itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh kontraktor tempatan bagi menyokong pembangunan ekonomi domestik.

Majlis pemeteraian tersebut turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Pengerusi CEXIM, Chen Huaiyu.

 

Must Watch Video

Advertisement