Skip to main content

Bisnes

Ryt Bank raih 1.5 juta pelanggan dalam tempoh setahun

Sumber: Ryt Bank
Ryt Bank meraikan ulang tahun pertama dengan pencapaian lebih 1.5 juta pelanggan dalam tempoh 12 bulan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ryt Bank mencatat pencapaian lebih 1.5 juta pelanggan dalam tempoh 12 bulan, sekali gus muncul sebagai bank digital terbesar di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata, bank berkenaan dibangunkan dengan matlamat menjadikan perbankan lebih selari dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia, termasuk menyediakan akses pada bila-bila masa, dari mana-mana sahaja serta dalam bahasa pilihan pengguna.

Menurutnya, Ryt AI menjadi antara pemacu utama dalam usaha berkenaan dengan menawarkan pengalaman perbankan yang lebih mudah dan pantas.

“Belum pernah ada bank seperti ini dibangunkan di Malaysia dan pasukan yang menjadikannya realiti terdiri sepenuhnya daripada rakyat Malaysia.

“Kami telah meletakkan Malaysia di peta dunia dengan membuktikan apa yang boleh dicapai apabila kita mencabar semula tanggapan mengenai kemampuan sebuah bank.

“Namun, semua ini tidak mungkin tercapai tanpa 1.5 juta rakyat Malaysia yang memilih untuk menjadikan Ryt Bank sebahagian daripada kehidupan mereka. Bulan ini adalah untuk mereka,” katanya dalam kenyataan.

Ryt Bank kini meraikan ulang tahun pertamanya bersempena bulan Merdeka menerusi pelbagai pengalaman baharu, tawaran eksklusif dan ganjaran kepada pelanggan, selain memperkenalkan kejutan baharu sepanjang Ogos.

Pada Februari 2026, aplikasi Ryt Bank menjadi aplikasi perbankan paling banyak dimuat turun di Malaysia menerusi Apple App Store dan Google Play, selain menduduki tempat pertama dalam kategori kewangan.

Wilson berkata, sepanjang tahun pertama operasinya, pelanggan menggunakan Ryt AI lebih 10 juta kali bagi menguruskan pelbagai urusan perbankan harian.

Katanya, Ryt Bank turut menyediakan pengalaman perbankan dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina, selaras dengan komitmennya untuk membangunkan perkhidmatan yang memenuhi keperluan serta cara komunikasi rakyat Malaysia.

“Ryt AI dikuasakan oleh ILMU, model bahasa besar berdaulat yang dibangunkan di Malaysia oleh YTL AI Labs. Teknologi AI buatan Malaysia itu mengendalikan perkhidmatan perbankan untuk rakyat Malaysia secara nyata dan pada skala besar,” katanya.

Menurutnya, keupayaan Ryt AI terus dipertingkatkan sepanjang tahun lalu bagi membolehkannya memahami maklumat dengan lebih baik serta melaksanakan lebih banyak tugasan.

“Ryt AI kini boleh membaca resit, imej dan lampiran serta mengendalikan beberapa permintaan dalam satu perbualan.

“Apabila berlaku masalah pembayaran, Ryt AI akan mencadangkan langkah penyelesaian kepada pelanggan dan bukannya sekadar memaparkan mesej ralat.

“Teknologi itu juga kini mampu melaksanakan lebih banyak tugasan merentasi aplikasi Ryt Bank berbanding setahun lalu.

“Ini ialah AI yang dibina untuk menyelesaikan masalah sebenar, bukan sekadar beroperasi di sebalik tabir,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement