SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), rancangan ekonomi 2026-2030 yang menggariskan enam misi dalam 25 bidang dengan sasaran nilai ekonomi RM600 bilion sepanjang tempoh berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata misi itu adalah Memacu Kepimpinan Ekonomi Selangor; Pembangunan Seimbang dan Peluang Saksama Merentasi Daerah; Negeri Penyayang dan Berdaya Huni; Modal Insan Produktif dan Inklusif; Negeri Lestari Berdaya Tahan dan Strategik serta Kerajaan Efektif, Mesra Rakyat dan Perniagaan.
Sewaktu membentangkan RS-2 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini, beliau berkata kerajaan negeri turut menggariskan lima sektor yang akan menjadi tumpuan ke arah 2030 iaitu bidang elektrik dan elektronik, aeroangkasa, automotif, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.
“Kesemua lima bidang ini disusun secara aktif melalui 13 inisiatif supaya nilai ekonomi dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang secara mampan dengan sasaran 6.1 peratus.
“Ini (sekali gus) memperkukuhkan pelaburan terutamanya daripada sumber domestik dengan sasaran RM330 bilion secara keseluruhan serta mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.2 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.
Amirudin turut berkongsi kejayaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menyaksikan nilai ekonomi Selangor meningkat 28.97 peratus kepada RM133.3 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan sejak diumumkan pada Julai 2022.
Beliau berkata setelah RS-1 tamat, sebanyak 79 peratus daripada segala ikhtiar berjaya dicapai dan berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan dengan sembilan daripada 16 indikator digariskan dapat dicapai.
“KDNK berjaya mencapai pertumbuhan 7.5 peratus secara konsisten, melebihi sasaran awal kadar pertumbuhan yang digariskan 6.5 hingga 7.0 peratus setiap tahun.
“Begitu juga nilai pelaburan, guna tenaga, pendapatan median isi rumah bulanan yang mengatasi sasaran RM1,436 sebulan iaitu RM10,736 berbanding sasaran awal RM9,290,” katanya.
Pencapaian lain RS-1 ialah kadar kemiskinan relatif dikurangkan kepada 8.5 peratus; Indeks Kebahagiaan meningkat ke 7.21 berbanding sasaran 7.00 dan bekalan air bersih terus disediakan tanpa gangguan terutama akibat pencemaran sungai.
Selain itu, katanya, keluasan hutan simpan kekal meningkat kepada 31.7 peratus manakala tahap kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan pihak berkuasa tempatan melebihi sasaran sehingga 94.71 peratus.
Amirudin turut memaklumkan terdapat tujuh petunjuk belum dicapai seperti aspek kelestarian alam sekitar, kemiskinan mutlak, bantuan kebajikan kerajaan dan pengurusan saliran air.
“Ekonomi, sosial dan kelestarian memerlukan elemen pelaksanaan yang lebih kukuh. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk kerajaan negeri mencari strategi mempelbagaikan hasil secara lebih konsisten dan mampan supaya tidak bergantung kepada pendapatan tanah,” katanya.
-- BERNAMA