KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan RM3.886 bilion bagi subsidi minyak masak pada 2024 hingga 2025, berbanding RM3.278 bilion hasil kutipan levi keuntungan luar biasa industri sawit dalam tempoh sama, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
MOF memaklumkan kutipan levi keuntungan luar biasa merupakan hasil Kerajaan Persekutuan yang dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, selaras dengan Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Hasil kutipan levi ini kemudiannya diperuntukkan semula melalui belanjawan tahunan untuk membiayai program yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk pemberian subsidi minyak masak di bawah COSS pada setiap tahun,” menurut kementerian itu.
MOF memaklumkan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai kutipan levi industri sawit dan penggunaan hasilnya.
Menurut kementerian itu, kerajaan masih menanggung subsidi minyak masak bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak sawit mentah di pasaran.
-- BERNAMA