Ringkasan AI
- EESB dan Hoytek telah memeterai perjanjian untuk berkongsi teknologi kenderaan kawalan jarak jauh (ROV) yang lebih lestari, dengan tujuan menjadikan Malaysia sebagai pengeluar teknologi bagi pasaran Asia pada masa hadapan.
- Fasa pertama kerjasama ini melibatkan pengeluaran ROV Kelas Kerja untuk pelbagai pelanggan marin dan tenaga di seluruh dunia, dengan sasaran penjanaan nilai sebanyak AS$65 juta (RM300 juta).
- Kerjasama ini juga bertujuan untuk membangunkan bakat tempatan Malaysia dalam bidang teknologi marin dan meningkatkan kecekapan serta keselamatan operasi bawah air.
Ketua Pegawai Eksekutif Ezed Energy Sdn Bhd (EESB) Mohd Tarmizi Yahaya dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah memeterai perjanjian dengan syarikat peneraju robotik terulung Turkiye, Hoytek melibatkan perkongsian teknologi kenderaan kawalan jarak jauh (ROV) yang lebih lestari.
Beliau berkata, perkongsian strategik itu mampu menjadikan Malaysia sebagai pengeluar teknologi bagi pasaran Asia pada masa hadapan.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Hoytek yang pendekatan inovatifnya melengkapi misi kami untuk menyediakan penyelesaian lestari.
"Bersama-sama, kami berhasrat untuk menetapkan standard industri baharu dari segi kecekapan dan keselamatan dalam operasi bawah air selain membangunkan bakat tempatan Malaysia dalam bidang ini,” katanya.
Mohd Tarmizi berkata, fasa pertama kerjasama bermula dengan pengeluaran ROV Kelas Kerja untuk ditawarkan kepada pelbagai pelanggan marin dan tenaga di seluruh dunia, dengan sasaran penjanaan nilai sebanyak AS$65 juta (kira-kira RM300 juta).
Selain ROV, beliau berkata, kerjasama itu juga akan memanfaatkan teknologi robotik terkini Hoytek serta kepakaran luas Ezed Energy dalam aplikasi tenaga.
“Kenderaan ini direka untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan merentasi pelbagai sektor termasuk marin, keselamatan dan pertahanan,” katanya.
Sementara itu Pengerusi EESB Ferol Zamhuri Mamat, dalam kenyataan yang sama berkata, kerjasama yang lebih luas akan terjalin di masa hadapan dengan beberapa institut tempatan Malaysia yang dikenal pasti, selaras dengan usaha Kerajaan Malaysia mempromosikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Perkongsian strategik itu, menurut Penasihat Perniagaan EESB, Prof Mutia Sobihah Abd Halim, bukan sahaja mengukuhkan kedudukan pasaran kedua-dua syarikat tetapi juga membuka jalan kepada kemajuan besar dalam operasi ROV, meningkatkan keselamatan, prestasi, dan kelestarian.
Sementara itu, Hoytek berkata mereka mempunyai komitmen yang tinggi dalam meneroka sempadan teknologi bersama Malaysia.
“Hoytek sentiasa komited untuk meneroka sempadan teknologi. Kerjasama dengan Ezed Energy Sdn Bhd menambah nilai besar kepada visi kami untuk mencipta penyelesaian ROV yang pintar dan mampan bagi memenuhi permintaan moden dalam sektor marin dasar laut,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Bertan Tezcan.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)