Pada jam 6 petang ini, ringgit meningkat ke paras 4.3750/3800 berbanding dolar AS daripada 4.4420/4465, semalam.
Sebelum ini pada 5 Nov, 2024, ringgit mencecah paras tertinggi 4.3415/3505 berbanding dolar AS.
Saham-saham global dan mata wang Asia juga meningkat pada Jumaat, didorong oleh prospek pendirian tarif ke atas China serta kadar faedah lebih rendah AS susulan kenyataan presiden AS berkenaan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan terbaharu Trump itu dapat memacu pasaran serta mata wang negara pesat membangun, termasuk Malaysia.
"Memang ada kebimbangan mengenai pelaksanaan tarif terhadap China, namun kini nampaknya pendekatan Trump lebih lembut dan pragmatik yang dapat merangsang persekitaran perdagangan antarabangsa yang lebih kondusif.
"Pengumuman terbaharu itu akan membolehkan ringgit muncul sebagai salah satu penerima manfaat utama. Malaysia misalnya adalah sebuah negara perdagangan dan perkembangan sedemikian boleh memberi manfaat kepada pertumbuhan dan membawa prospek yang lebih baik untuk ringgit di masa depan," katanya kepada Bernama.
Mengulas isyarat Trump yang mahukan kadar faedah lebih rendah, beliau berkata Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Rumah Putih tidak sepatutnya berselisih pendapat kerana realitinya mereka menumpukan matlamat sama.
"Fed telah melonggarkan dasar monetarinya dan Trump sedang mencari pendirian yang lebih lembut mengenai dasar monetari. Oleh itu, tidak wujud banyak tentangan yang sepatutnya positif bagi dasar monetari AS dan menunjukkan kemungkinan kadar faedah lebih rendah," katanya.
Dalam pada itu, pada akhir urus niaga hari ini ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama dunia iaitu meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8115/8149 daripada 2.8429/8461, naik berbanding euro kepada 4.5911/5964 daripada 4.6246/6293 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.4373/4435 daripada 5.4703/4759.
Selain itu, ringgit juga diniagakan mengukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding rupiah Indonesia kepada 270.5/270.9 daripada 272.7/273.1, meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.50/7.51 daripada 7.57/7.58 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0015/0241 daripada 13.0582/0779.
Ringgit juga meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2482/2522 daripada 3.2734/2770.
-- BERNAMA