Skip to main content

Dunia

12 rakyat Palestin, wartawan AS cedera dalam serangan peneroka Israel di Tebing Barat

Seorang rakyat Palestin berjalan berhampiran asap dan api ketika pertempuran antara penduduk Palestin dan peneroka Israel semasa musim menuai zaitun di Abu Falah, dekat Ramallah, di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS
Seorang rakyat Palestin berjalan berhampiran asap dan api ketika pertempuran antara penduduk Palestin dan peneroka Israel semasa musim menuai zaitun di Abu Falah, dekat Ramallah, di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS

Advertisement

RAMALLAH: Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin, termasuk beberapa warga Palestin-Amerika, serta seorang wartawan Amerika Syarikat (AS) cedera dalam serangan oleh peneroka Israel ketika musim menuai zaitun di Tebing Barat yang diduduki.

Menurut saksi, puluhan peneroka bertopeng menyerang petani Palestin berhampiran kampung Abu Falah dengan menggunakan batu dan kayu serta bertindak membakar kenderaan dan pokok zaitun.

Antara mangsa yang cedera ialah Majdi Fheed, seorang warga AS berketurunan Palestin yang mengalami kecederaan di kepala selepas didakwa dipukul ketika mengusahakan ladangnya.

Wartawan Washington Post, Heidi Levine, turut cedera ketika membuat liputan di lokasi kejadian.

Beliau berkata sekumpulan peneroka menyerangnya dan menendangnya berulang kali walaupun jelas dikenal pasti sebagai wartawan.

Editor Eksekutif Washington Post, Matt Murray, mengecam insiden itu dan menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.

Jabatan Negara AS berkata pihaknya menyedari laporan berhubung serangan berkenaan serta mengutuk sebarang bentuk keganasan jenayah di Tebing Barat.

Tentera Israel memaklumkan anggotanya telah dihantar ke kawasan itu susulan laporan mengenai pertembungan ganas dan sedang menyiasat insiden berkenaan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan peneroka Israel sepanjang musim menuai zaitun tahun ini telah mengorbankan seorang rakyat Palestin dan mencederakan lebih 120 yang lain di seluruh Tebing Barat.

Musim menuai zaitun merupakan sumber pendapatan penting bagi ramai keluarga Palestin, namun semakin kerap diganggu oleh keganasan dan ketegangan di sekitar penempatan Israel di wilayah itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement