BANGKOK: Tiga belas kanak-kanak cedera selepas sebuah kereta merempuh pusat perkembangan kanak-kanak di Kanchanaburi, wilayah di barat Thailand, pada Jumaat.
Presiden Pertubuhan Pentadbiran Subdaerah Kaeng Sian, Ampai Ritthikhamrop berkata kejadian berlaku kira-kira 11 pagi apabila sebuah kereta Honda Civic hitam yang dipandu seorang lelaki merempuh pusat perkembangan kanak-kanak milik pertubuhan itu di Ban Nong Song Ton, daerah Mueang.
"Rempuhan itu menyebabkan pagar pusat berkenaan rosak teruk sebelum kereta itu berhenti selepas melanggar rumpun pokok pisang di belakang pusat tersebut. Serpihan dari dinding konkrit yang runtuh mencederakan kanak-kanak itu, kebanyakannya mengalami kecederaan kepala," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Ampai berkata ketika kejadian, terdapat 34 kanak-kanak di pusat berkenaan dan kesemua 13 mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Phahol Pholpayuhasena untuk menerima rawatan.
Beliau berkata 21 kanak-kanak lain tidak mengalami kecederaan dan kemudian dijemput pulang oleh ibu bapa masing-masing.
Polis dari Balai Polis Mueang Kanchanaburi telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan menubuhkan pusat kawalan insiden.
Menurut laporan media tempatan, kereta itu dinaiki dua individu dan siasatan awal mendapati pemandu berusia 54 tahun itu mempunyai masalah jantung serta dipercayai tidak sedarkan diri sebelum kenderaannya terbabas lalu merempuh pusat berkenaan.
-- BERNAMA