Skip to main content

Dunia

14 bayi baru lahir maut dalam kebakaran hospital di Pakistan

Police officers move past an ambulance outside an intensive care unit after a fire broke out at the Pakistan Institute of Medical Sciences (PIMS) hospital in Islamabad, Pakistan, August 26, 2026. REUTERS/Akhtar Soomro
Kebakaran bermula sekitar jam 7 pagi di tingkat tiga Wad Kesihatan Ibu dan Anak di Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS) tempat 15 bayi sedang dirawat. -Gambar Reuters
Advertisement

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 14 bayi baru lahir meninggal dunia pada Rabu selepas kebakaran tercetus di wad bayi di sebuah hospital kerajaan utama di ibu negara Pakistan, Islamabad, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan pegawai.

Kebakaran itu bermula sekitar 7 pagi waktu tempatan (0200 GMT) di tingkat tiga Wad Kesihatan Ibu dan Anak di Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS), tempat 15 bayi sedang dirawat.

Pihak pentadbiran Islamabad pada mulanya menyatakan bahawa kebakaran itu berjaya dikawal sejurus selepas ia bermula dan 14 bayi yang mengalami kecederaan lecur parah telah dipindahkan ke unit rawatan rapi.

Pejabat Perdana Menteri Shehbaz Sharif kemudiannya mengesahkan kematian itu.

Jurucakap PIMS Dr Aneeza Jalil berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas, menurut laporan akhbar Dawn di Pakistan.

Laporan media tempatan lain pula menyatakan kerosakan pada sistem penyaman udara hospital mungkin menjadi punca kebakaran tersebut.

Sharif menzahirkan dukacita atas kematian itu dan mengarahkan siasatan segera dijalankan.

"Situasi yang melibatkan kanak-kanak seperti ini merupakan satu kehilangan yang tidak galang ganti. Punca kejadian perlu disiasat secara menyeluruh, pihak yang bertanggungjawab perlu dikenal pasti, dan tindakan paling tegas harus diambil," kata Perdana Menteri.

Pihak pentadbiran Islamabad telah menubuhkan jawatankuasa siasatan yang diketuai timbalan pesuruhjaya agung tambahan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada kebakaran itu.

Jawatankuasa berkenaan juga akan menyiasat sama ada kecuaian atau kegagalan dalam sistem keselamatan hospital menyumbang kepada kematian tersebut serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement