TEL AVIV : Tiga buah bas meletup, di sini, pada Khamis dalam kejadian yang didakwa oleh polis Israel sebagai serangan pengganas, menurut unit jurucakap polis negara itu.

Ketiga-tiga bas yang terlibat dalam letupan itu tidak mempunyai penumpang dan berada di tempat letak kereta berasingan yang berjarak kira-kira 500 meter antara satu sama lain, kata Datuk Bandar Bat Yam, lokasi kejadian.

Bat Yam terletak di pantai selatan Israel dan berada di selatan Tel Aviv.

Letupan itu juga tidak mendatangkan sebarang kecederaan, kata polis.

Bagaimanapun, siasatan awal polis menemukan dua butir bom di bas berasingan, menurut jurucakap polis.

Peranti letupan tersebut menyerupai bom yang pernah ditemui oleh polis Israel di Tebing Barat, tambah jurucakap itu.

Polis turut menemui nota bertulis bersama salah satu bom, yang berbunyi: "Pembalasan terhadap kem Tulkarm," merujuk kepada operasi Israel di Tebing Barat minggu lalu, menurut pengesahan ABC News.

Sumber yang dimaklumkan mengenai siasatan awal memberitahu ABC News, pihak berkuasa percaya serangan pengganas yang diselaraskan dirancang untuk berlaku pada pagi Jumaat bagi menyasarkan kesesakan sebelum Sabbath apabila bas di Israel biasanya penuh sesak.

Atas sebab-sebab tertentu, sekurang-kurangnya satu peranti meletup lebih awal daripada yang dirancang, menurut sumber tersebut.

"Beberapa laporan telah diterima mengenai letupan melibatkan beberapa bas di lokasi berbeza di Bat Yam.
Pasukan polis dalam jumlah besar berada di lokasi kejadian, mencari suspek. Unit pelupusan bom polis sedang mengimbas objek mencurigakan yang lain," kata jurucakap polis lagi.

Agensi Keselamatan Israel, yang dikenali sebagai Shin Bet, kini terlibat dalam siasatan tersebut.

Polis sedang mengenal pasti kawasan sekitar untuk mencari bom lain yang mungkin diletakkan di dalam bas dan menggesa orang awam untuk mengelak dari kawasan tersebut serta sentiasa berwaspada terhadap sebarang objek mencurigakan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan, sedang menerima "maklumat terkini secara berkala", menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Israel pada Khamis. - Agensi