RAMALLAH: Seramai 5,209 pendatang haram Israel menceroboh kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki sepanjang Ogos, manakala tentera Israel membunuh dua rakyat Palestin dan menahan 114 yang lain termasuk lima kanak-kanak, menurut Pentadbiran Baitulmuqaddis pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut laporan bulanannya, kompleks Al-Aqsa menyaksikan pencerobohan berterusan dan semakin meningkat oleh pendatang haram Israel serta pelaksanaan ritual keagamaan Yahudi di dalam kompleks itu dan sekitar pintu masuknya sepanjang Ogos, di bawah perlindungan langsung polis Israel.
Pentadbiran itu berkata sebanyak 5,209 pencerobohan oleh pendatang haram Israel direkodkan di kompleks Al-Aqsa, dengan antara jumlah harian tertinggi dicatatkan pada 13 Ogos apabila 751 daripada mereka memasuki kawasan berkenaan.
Pihak berkuasa Israel turut mengeluarkan lima perintah melarang rakyat Palestin memasuki Al-Aqsa.
Sejak 2003, polis Israel membenarkan pendatang haram Israel memasuki kompleks masjid itu.
Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis menegaskan bahawa Al-Aqsa merupakan tempat suci khusus bagi umat Islam dan berulang kali menuntut supaya pencerobohan berkenaan dihentikan.
Mengenai pelanggaran oleh tentera Israel, pentadbiran itu berkata tentera Israel membunuh dua rakyat Palestin, mencederakan 83 yang lain dan menahan 114 orang termasuk lima kanak-kanak.
Sebanyak 44 serangan oleh pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka turut direkodkan.
Selain itu, pentadbiran itu merekodkan 40 operasi perobohan dan pembersihan tanah yang menyasarkan rumah, struktur serta tanah di Baitulmuqaddis, selain 86 notis dan perintah perobohan atau menghentikan kerja.
Perkembangan itu berlaku ketika media Israel melaporkan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berusaha meningkatkan ketegangan bagi meraih sokongan parti berhaluan kanan menjelang pilihan raya Knesset pada 27 Okt.
Rakyat Palestin menuduh Israel memperhebat langkah yang bertujuan mengubah identiti Baitulmuqaddis yang diduduki supaya lebih bercirikan Yahudi, termasuk kompleks Masjid Al-Aqsa, serta menghapuskan identiti Arab dan Islamnya.
Bandar, pekan dan kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki termasuk Baitulmuqaddis berdepan serbuan dan penahanan berulang kali oleh Israel, selain peningkatan serangan pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka sejak Israel melancarkan genosid di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023.
-- BERNAMA-ANADOLU
TAG: Asia Barat, Palestin, Gabenor Baitulmaqdis, Israel, Masjid Al-Aqsa