MELBOURNE: Ahli Parlimen Bebas Australia, Helen Haines, berada dalam keadaan kritikal selepas dirempuh sebuah kenderaan di luar pejabat kawasan undinya di Wangaratta, timur laut Melbourne, dalam kejadian yang kini disiasat pihak berkuasa.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi keselamatan dan penguat kuasa bagi mengenal pasti motif kejadian.
"Satu siasatan polis secara besar-besaran sedang dijalankan dan saya mengesahkan seorang suspek kini berada dalam tahanan pihak berkuasa.
"Polis Persekutuan Australia (AFP), Polis Victoria dan Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO) sedang bekerjasama rapat, malah Pasukan Bersama Melawan Keganasan turut diaktifkan, namun motif kejadian masih belum dapat dipastikan," katanya pada sidang media di Sydney.
Menurut kenyataan Polis Victoria, Haines, 65, sedang mengeluarkan barangan dari but kenderaannya di kawasan parkir di Jalan Murphy sebelum dirempuh sebuah Toyota LandCruiser berwarna putih kira-kira jam 3.35 petang waktu tempatan.
Pemandu kenderaan itu, seorang lelaki berusia 43 tahun dari Tarrawingee, ditahan di lokasi kejadian selepas berjaya dihalang orang awam yang berada berhampiran.
Polis turut merampas sebilah pisau yang ditemukan di dalam kenderaan suspek bagi membantu siasatan.
Haines mengalami kecederaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital, manakala Unit Siasatan Kemalangan Mejar Polis Victoria telah dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.