Skip to main content

Dunia

Ancaman bom dilaporkan di beberapa lapangan terbang Eropah

Sebuah pesawat LOT Polish Airlines dari London Heathrow ke Warsaw Chopin dilencongkan ke Warsaw Modlin sebagai langkah berjaga-jaga. - Gambar fail
Sebuah pesawat LOT Polish Airlines dari London Heathrow ke Warsaw Chopin dilencongkan ke Warsaw Modlin sebagai langkah berjaga-jaga. - Gambar fail
Advertisement

ISTANBUL: Beberapa negara Eropah melaporkan ancaman bom membabitkan pesawat penumpang pada Selasa, menyebabkan pemeriksaan keselamatan dijalankan di lapangan terbang di Poland, Sepanyol, Bulgaria dan Itali, lapor Anadolu Ajansi.

Di Sepanyol, pihak berkuasa mula memeriksa sebuah pesawat Ryanair susulan ancaman bom membabitkan penerbangan dari Manchester yang mendarat di bandar Murcia, tenggara negara itu.

"Kesemua 114 penumpang dan tujuh anak kapal telah turun dari pesawat dan sedang menjalani pemeriksaan keselamatan," kata wakil kerajaan Sepanyol di Murcia, Francisco Lucas menerusi platform media sosial X, sambil menambah bahawa pesawat berkenaan turut diperiksa.

Advertisement

Menurut pengendali lapangan terbang Aena, pesawat itu mendarat mengikut jadual di Lapangan Terbang Antarabangsa Murcia di Corvera.

Penerbangan lain di lapangan terbang berkenaan diteruskan seperti biasa, lapor akhbar wilayah La Opinion de Murcia.

Advertisement

Di Poland, dua ancaman bom berasingan dilaporkan membabitkan penerbangan menuju ke Warsaw, menurut TVP World.

Kejadian itu melibatkan Lapangan Terbang Warsaw Chopin dan Lapangan Terbang Modlin.

Sebuah pesawat LOT Polish Airlines dari London Heathrow ke Warsaw Chopin dilencongkan ke Warsaw Modlin sebagai langkah berjaga-jaga, manakala kawasan pesawat itu ditempatkan ditutup sehingga dimaklumkan kelak.

Seramai 181 penumpang berada di dalam pesawat berkenaan dan mereka dibawa ke balai ketibaan sementara pemeriksaan dijalankan.

Satu lagi ancaman bom turut dilaporkan membabitkan penerbangan SAS dari Copenhagen ke Warsaw Chopin.

Sementara itu, sebuah pesawat yang tiba dari Israel melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Sofia, Bulgaria selepas ancaman diterima melalui e-mel, lapor Radio Kebangsaan Bulgaria (BNR) yang memetik Setiausaha Agung Kementerian Dalam Negeri Lyubomir Nikolov.

Pihak berkuasa pada awalnya tidak mendedahkan nama syarikat penerbangan, butiran penerbangan, jumlah penumpang atau laluan sebenar pesawat itu.

Kandungan e-mel berunsur ancaman berkenaan juga tidak didedahkan kepada umum.

Di Itali, dua amaran bom berasingan membabitkan penerbangan Ryanair dari Dublin dan Lisbon dilaporkan di Lapangan Terbang Fiumicino-Leonardo da Vinci di Rom dalam tempoh selang masa lebih sedikit daripada sejam, menurut media tempatan.

Kejadian pertama berlaku apabila sebuah pesawat dari Dublin mendarat di lapangan terbang itu.

Laporan tanpa nama mengenai kemungkinan terdapat bahan letupan di dalam pesawat mencetuskan prosedur keselamatan, dengan pakar pemusnah bom dikerahkan untuk memeriksa pesawat berkenaan.

Pemeriksaan dilaporkan tidak menemukan sebarang bahan letupan di dalam pesawat atau bukti yang menyokong laporan itu.

Amaran kedua dilaporkan tidak lama kemudian membabitkan penerbangan Ryanair FR9611 dari Lisbon.

Pesawat pejuang Tentera Udara Itali dikerahkan untuk memintas dan mengiringi pesawat itu ke lapangan terbang.

Prosedur keselamatan dan pemeriksaan turut dijalankan susulan amaran kedua.

Kedua-dua kejadian berakhir tanpa menjejaskan keselamatan penumpang dan tiada gangguan dilaporkan terhadap mereka yang menaiki kedua-dua penerbangan itu.

Pada Isnin, sebuah pesawat Wizz Air dari London ke Sofia turut dilencongkan ke Budapest susulan ancaman bom.

Tiada bahan letupan ditemukan ketika pemeriksaan dan pesawat itu kemudian meneruskan penerbangan ke Bulgaria.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement