KUALA LUMPUR: ASEAN tidak boleh terjebak dalam persaingan Amerika Syarikat (AS) dan China yang bukan lagi bersifat pertembungan dagang. 


Ringkasan AI
  • Elakkan Persaingan AS-China: ASEAN tidak boleh terjebak dalam persaingan antara AS dan China yang kini lebih kepada persaingan kuasa besar, bukan hanya perdagangan.
  • Naratif Pembangunan Tersendiri: ASEAN perlu bawa naratif pembangunan yang unik dan tidak menjurus kepada perspektif bersaing dan konfrontasi.
  • Peranan dalam Memahami: ASEAN boleh membantu AS dan China memahami satu sama lain dengan lebih baik.


Profesor Ekonomi Li Ka Sing dan Dekan Institut Dasar Awam Lee Kuan Yew Universiti Kebangsaan Singapura, Prof. Danny Quah berkata, ASEAN perlu membawa naratif pembangunan tersendiri yang tidak menjurus kepada perspektif bersaing dan konfrontasi. 

“AS merasakan kebangkitan China akan membawa kepada sebuah kuasa hegemoni berseteru, yang mana akan menyekat kebebasan AS untuk bertindak di rantau ini (Asia). 

“Ini merupakan asas pertimbangan yang tidak ada kaitan langsung dengan perdagangan, sebaliknya ia berkaitan dengan persaingan antara kuasa-kuasa besar dunia. 

“Kita di ASEAN perlu menetapkan naratif tersendiri yang membawa kita keluar daripada (persaingan) itu. 

“Sekiranya kita mampu, kita juga boleh membantu AS-China memahami satu sama lain dengan lebih baik, agar mereka tidak melihat hubungan dua hala sebagai suatu konfrontasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog ASEAN25 pada Khamis.

ASEAN bawa naratif sendiri, tidak boleh terjebak dalam persaingan AS-China - Penganalisis


Pada 25 Januari lalu, Presiden AS, Donald Trump mengancam China dengan tarif tinggi sejurus selepas memenangi pilihan raya.

Langkah itu akan menambah beban terhadap ekonomi China yang sudahpun terjejas, memandangkan AS adalah pasaran eksport paling penting bagi negara tersebut.

Namun, tarif juga akan membawa kesan di AS, berkemungkinan menyebabkan kenaikan harga yang boleh mencetuskan inflasi - sesuatu yang mahu dielakkan oleh Trump.

Beijing pula mungkin mempertimbangkan bukan sahaja untuk mengenakan tarif ke atas produk AS malah  mengambil langkah balas yang disasarkan, seperti menyekat eksport bahan mentah atau meningkatkan siasatan terhadap syarikat AS yang beroperasi di China.

Secara keseluruhan, hubungan antara kedua-dua kuasa besar itu dijangka terus merosot akibat tindakan tersebut.