Skip to main content

Dunia

Australia laksana program vaksinasi penguin pertama dunia, cegah selesema burung - Laporan

51474993657_Penguins.jpg
Program itu dimulakan ketika selesema burung H5N1 menular dalam kalangan hidupan liar Australia. - Gambar hiasan
Advertisement

MOSCOW: Australia sedang melaksanakan program vaksinasi penguin bagi mencegah selesema burung, dengan kira-kira 1,000 ekor burung sudah menerima dos pertama, lapor Sputnik/RIA Novosti pada Isnin memetik ABC News.

Ketua Pegawai Eksekutif Phillip Island Nature Parks Catherine Basterfield berkata ini kali pertama pasukannya melaksanakan program seumpama itu dan lebih penting, ia merupakan program vaksinasi besar-besaran pertama pada skala sedemikian di dunia.

“Pasukan kami mengambil masa awal minggu ini untuk menjalankan ujian, membuat perancangan dan mencuba pelbagai kaedah bagi melaksanakan program vaksinasi ini,” kata beliau.

Program itu dimulakan ketika selesema burung H5N1 menular dalam kalangan hidupan liar Australia.

Kes pertama jangkitan pada mamalia, membabitkan seekor anjing laut disahkan di Australia Selatan pada Ahad.

Satu lagi kes disyaki selesema burung turut dikesan berhampiran koloni terbesar singa laut Australia yang terancam di dunia.

Pihak berkuasa Australia membenarkan sehingga 5,000 penguin kecil di Phillip Island dan sehingga 800 ekor lagi di St. Kilda menerima vaksin.

Setiap penguin akan menerima dua dos vaksin dengan jarak kira-kira 21 hingga 28 hari.

Semasa proses vaksinasi, haiwan itu diperiksa, ditimbang dan dipasang mikrocip sebelum dilepaskan semula.

Selesema burung dikesan di Phillip Island pada Ogos, yang menempatkan koloni penguin kecil terbesar di dunia dengan kira-kira 40,000 ekor.

Kajian simulasi oleh pakar menunjukkan wabak besar penyakit itu boleh menyebabkan antara 8,000 hingga 16,000 ekor penguin di pulau berkenaan mati.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement