JAKARTA: Api marak di enam tingkat bangunan Badan Pendapatan Provinsi Jakarta (Bapenda) di Jakarta Pusat semalaman dengan seorang pekerja diselamatkan ketika anggota bomba menjalankan operasi pemadaman selama beberapa jam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jakarta, Bayu Meghantara berkata, kebakaran yang berlaku pada malam Jumaat, menjejaskan tingkat 11 hingga 16 bangunan itu dengan operasi memadam kebakaran bermula 9.41 malam waktu tempatan dan usaha penyejukan masih dijalankan awal Sabtu.
Beliau berkata, angin kencang yang menyebabkan api menyala semula menimbulkan cabaran kepada operasi, sementara pihak berkuasa masih belum menentukan puncak kebakaran.
“Kami berjaya memindahkan seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di tingkat 15,” katanya, menurut Agensi Berita Antara.
Mangsa berjaya diselamatkan kira-kira pukul 1.30 pagi dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan, katanya.
Sebanyak 185 kakitangan dan 20 jentera bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran termasuk tiga unit Bronto Skylift iaitu jentera bomba khusus yang dilengkapi platform udara hidraulik untuk operasi memadam kebakaran di bangunan bertingkat tinggi.
-- BERNAMA