TOKYO: Bekas Perdana Menteri Jepun, Yasuo Fukuda, meninggal dunia pada usia 90 tahun akibat kegagalan jantung di sebuah hospital di Tokyo pada Khamis lalu.
Memetik laporan harian perniagaan Nikkei, kematian tokoh politik veteran itu diumumkan secara rasmi oleh Parti Liberal Demokratik (LDP) pada Isnin selepas urusan pengebumian keluarga selesai dijalankan.
Fukuda melakar sejarah apabila menjadi individu pertama dalam sejarah Jepun moden yang mengikuti jejak bapanya, Takeo Fukuda, untuk menjawat jawatan perdana menteri.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Jepun ke-91 pada September 2007 selepas peletakan jawatan mengejut Shinzo Abe atas faktor kesihatan sebelum melepaskan jawatan itu kurang setahun kemudian pada September 2008 akibat kebuntuan politik di parlimen.
Lulusan bidang ekonomi dari Universiti Waseda itu memulakan kerjaya dalam sektor korporat dan berkhidmat hampir dua dekad di sebuah syarikat minyak, termasuk pernah ditugaskan di Amerika Syarikat selama dua tahun.
Beliau kemudian membina reputasi politik yang kukuh apabila berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kabinet dari 2000 hingga 2004 sebelum meletakkan jawatan susulan kontroversi berkaitan caruman sistem pencen kebangsaan.
Dalam arena antarabangsa, Fukuda dikenali sebagai tokoh berhaluan sederhana yang mengutamakan hubungan diplomatik dan ekonomi yang lebih erat dengan negara jiran Asia, khususnya China dan Korea Selatan.
Fukuda meninggalkan balu, Kiyoko Fukuda, dan seorang anak lelaki, Tatsuo Fukuda, yang kini merupakan ahli parlimen LDP.