"Peningkatan fahaman perlindungan semasa dalam perdagangan dan pelaburan menekankan kepentingan langkah yang bertujuan untuk mengatasi halangan kepada integrasi ekonomi kita. Lebih banyak pilihan pembayaran bermakna mengurangkan kelemahan dan kos. Brazil selaku pengerusi BRICS komited untuk membangunkan platform pembayaran tambahan yang boleh diakses, telus dan selamat," kata presiden seperti dipetik portal UOL.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini mendakwa bahawa negara-negara BRICS telah meninggalkan rancangan untuk mewujudkan alternatif kepada dolar dalam urusan pembayaran selepas Washington mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 150 peratus dan menghentikan perdagangan dengan mereka. Menurut beliau, negara-negara BRICS pada mulanya mahu mencipta mata wang baharu, mungkin menggunakan yuan China, tetapi mengubah pendirian selepas ancaman AS.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa negara-negara BRICS membincangkan kemungkinan memperluas pembayaran dalam mata wang masing-masing dan mewujudkan mata wang bersama dalam blok itu, namun tiada keputusan muktamad dibuat mengenai perkara berkenaan.
BRICS ialah sebuah organisasi yang ditubuhkan pada 2006 oleh Rusia, China, India dan Brazil, sebelum Afrika Selatan menyertainya pada 2011. Sejak awal 2024, beberapa negara lain telah menyertai BRICS.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
