Skip to main content

Dunia

AS catat Julai paling panas dalam rekod

TB_HEATWAVE USA_REUTERS
Suhu maksimum purata harian mencecah 31.9 darjah Celsius pada Julai, menjadikannya Julai keenam paling panas dalam rekod dari segi suhu siang hari. - Reuters
Advertisement

LOS ANGELES: Julai adalah bulan paling panas pernah direkodkan di kawasan daratan Amerika Syarikat (AS), menurut data kerajaan AS yang dikeluarkan pada Isnin, lapor Xinhua.

Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS (NOAA), suhu purata di 48 negeri selatan mencecah 24.9 darjah Celsius. Julai 2026 mengatasi rekod terdahulu yang dicatatkan pada Julai 1936 dan Julai 2012, walaupun dengan perbezaan kecil, menurut NOAA.

Suhu maksimum purata harian mencecah 31.9 darjah Celsius pada Julai, menjadikannya Julai keenam paling panas dalam rekod dari segi suhu siang hari.

Menurut NOAA, anomali terbesar dicatatkan pada suhu waktu malam. Julai 2026 turut mencatat rekod baharu bagi suhu minimum harian purata, iaitu 17.9 darjah Celsius.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, yang merupakan sebahagian daripada NOAA mendedahkan yang indeks HeatRisk eksperimental mengambil kira suhu maksimum pada siang hari dan suhu minimum pada waktu malam ketika menilai risiko berkaitan haba, termasuk sama ada malam yang luar biasa panas boleh meningkatkan tekanan haba pada hari berikutnya.

Menurut NOAA, suhu melebihi purata meliputi sebahagian besar wilayah barat dan tengah AS, selain beberapa kawasan di pantai selatan dan tenggara. Hanya Alaska, yang tidak termasuk dalam purata AS daratan, mencatatkan Julai paling sejuk sejak 2008.

Suhu melebihi purata dijangka berlaku di bahagian tengah dan selatan AS daratan pada Ogos.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement